Ngiling Tikai Manifestasi Keunikan Sarawak, Kekalkan Perpaduan Rakyat Berbilang Kaum
SRI AMAN: Tradisi Ngiling Tikai bukan sahaja menandakan berakhirnya sambutan Hari Gawai, malah menjadi manifestasi keunikan Sarawak dalam mengekalkan perpaduan rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kepli berkata, amalan tradisi masyarakat Dayak itu terus menjadi wadah mengeratkan silaturahim, memupuk semangat gotong-royong serta menghargai warisan budaya yang diwarisi sejak turun-temurun.
"Perpaduan yang dinikmati hari ini bukanlah sesuatu yang hadir dalam sekelip mata, sebaliknya dibina melalui sikap saling menghormati, toleransi dan kerjasama yang telah dipupuk sejak sekian lama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ngiling Tikai Gawai Dayak 2026 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.32 Simanggang di Dewan Serbaguna Sungai Tandok, Undop, di sini, pada Ahad.
Justeru, beliau berharap Majlis Ngiling Tikai dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi memperkukuh perpaduan masyarakat serta memelihara adat dan budaya masyarakat Dayak.
Dalam pada itu, Mohd Shahfizan memberitahu, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus komited membawa pembangunan ke seluruh negeri, khususnya di kawasan luar bandar, agar rakyat dapat menikmati kemudahan infrastruktur serta peluang ekonomi yang lebih baik.
Katanya, pembinaan jambatan di seluruh Sarawak bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan, malah menjadi ‘jambatan silaturahim’ yang merapatkan hubungan antara masyarakat luar bandar dan bandar serta merancakkan aktiviti ekonomi. -EDISI UKAS