Semangat Perpaduan Terus Mekar Menerusi Sambutan Ngiling Bidai
MATU: Sambutan menggalakkan masyarakat pada Majlis Ngiling Bidai di Rumah Atoh, Sungai Passin mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian dan kebersamaan yang terus utuh dalam kalangan komuniti setempat.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, semangat tersebut menjadi kekuatan masyarakat dalam mengekalkan hubungan erat serta memastikan tradisi dan warisan budaya terus dipelihara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ngiling Bidai di Rumah Atoh, Sungai Passin, Matu, pada Sabtu.
Menurutnya, adat Ngetas Ranyai dan Ngiling Bidai atau gulung tikar yang menandakan berakhirnya sambutan Hari Gawai merupakan warisan budaya masyarakat Iban yang perlu terus dipertahankan agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
Katanya, pemeliharaan adat dan budaya bukan sahaja memperkukuh identiti masyarakat, malah menjadi medium mengeratkan silaturahim serta memupuk persefahaman dalam kalangan penduduk.
Majlis anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Atoh itu dihadiri kira-kira 200 penduduk yang bersama-sama memeriahkan penutupan rasmi sambutan Hari Gawai dalam suasana penuh muhibah dan kekeluargaan.-EDISI UKAS