Peranan Guru, Ibu Bapa Bimbing Pelajar Tidak Boleh Dipandang Ringan
SEBUYAU: Peranan guru dan ibu bapa dalam membimbing dan memberi sokongan kepada anak-anak sepanjang tempoh persekolahan tidak boleh dipandang ringan kerana kejayaan pelajar merupakan hasil kerjasama erat antara keluarga, sekolah dan masyarakat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ibu bapa dan guru memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar terus bermotivasi serta mampu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
"Justeru, saya berharap sokongan padu kepada anak-anak ini akan terus diberikan sehingga mereka selesai menduduki peperiksaan nanti," katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Perkampungan Ilmu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau di dewan sekolah tersebut pada Ahad.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi memberitahu, ilmu pengetahuan merupakan kunci utama dalam membentuk generasi yang cemerlang dan berdaya saing.
Gesanya, para pelajar perlu memanfaatkan peluang yang diberikan, sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan serta menghargai pengorbanan ibu bapa dan guru dalam memastikan kejayaan mereka.
Pada majlis itu, Dato Sri Julaihi mengumumkan peruntukan berjumlah RM60,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sebuyau bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta keperluan sekolah.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
Bagi memperkukuh persediaan calon SPM, sebanyak RM9,000 diperuntukkan untuk pelaksanaan Program Bengkel SPM di sekolah-sekolah terlibat, selain insentif berjumlah RM19,700 disampaikan kepada 71 pelajar sebagai penghargaan terhadap pencapaian akademik mereka. -EDISI UKAS