Kerjasama Komuniti Kunci Kelangsungan Sekolah Pedalaman
KAPIT: Kerjasama erat antara masyarakat, khususnya penduduk rumah panjang, dengan pihak sekolah amat penting bagi memastikan kelangsungan pendidikan di kawasan pedalaman terus diperkukuh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai berkata sokongan komuniti bukan sahaja membantu memperkasakan institusi pendidikan, malah menggalakkan lebih ramai ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah berhampiran.
Menurut beliau, sekolah pedalaman memainkan peranan penting dalam memastikan akses pendidikan dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi.
“Sekolah pedalaman penting dalam melahirkan generasi yang berilmu, berdikari dan mampu membawa kemajuan kepada masyarakat setempat serta negara,” katanya.
Katanya ketika berucap pada Majlis Ngiling Tikai SK Temenggong Koh yang berlangsung di Dewan SK Temenggong Koh pada Sabtu.
Beliau turut menyeru penduduk rumah panjang agar terus memberikan kerjasama kepada pihak sekolah demi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berdaya maju.
Pada masa sama, beliau menjelaskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat bukan sahaja meliputi pembangunan kawasan dan pentadbiran, malah kebajikan penduduk rumah panjang, pengurusan bencana serta kebajikan institusi pendidikan di kawasan yang diwakilinya.
Terdahulu, Nicholas Kudi turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah serta penduduk beberapa rumah panjang berhampiran atas sambutan dan kerjasama dalam menjayakan majlis berkenaan.-EDISI UKAS