Kerjasama Strategik Sarawak-Brunei Diperkukuh, Pacu Ekonomi Serantau
LAWAS: Kerjasama strategik antara Sarawak dan Brunei Darussalam terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif rentas sempadan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperluas pelaburan serta membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada kedua-dua wilayah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hubungan erat yang terjalin sekian lama antara Sarawak dan Brunei meliputi kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G), hubungan rakyat serta perdagangan perlu terus diperkasakan demi manfaat bersama.
Menurut beliau, nilai perdagangan antara Malaysia dan Brunei kini mencecah kira-kira RM5.8 bilion, manakala perdagangan antara Sarawak dan Brunei telah melebihi RM1.8 bilion, sekali gus mencerminkan potensi besar untuk terus diperkembangkan.
“Kerjasama ini perlu diperluaskan dalam pelbagai bidang termasuk pengangkutan, pelabuhan, bekalan elektrik, internet berkelajuan tinggi melalui rangkaian gentian optik, pelancongan, pendidikan serta pembangunan bakat bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Program Jelajah Usahawan Brunei-Sarawak di Hotel Roxy, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah berkata Sarawak, Brunei dan Sabah akan terus memperkukuh kerjasama mempromosikan Borneo sebagai destinasi pelancongan bersama, termasuk memanfaatkan rangkaian penerbangan AirBorneo bagi meningkatkan hubungan pelancongan dan perdagangan.
Beliau turut menegaskan pembangunan modal insan kekal menjadi agenda utama Kerajaan Sarawak bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan menerusi penghasilan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang kecerdasan buatan (AI), inovasi, kreativiti dan teknologi.
Selain itu, katanya, kerajaan turut memberi penekanan terhadap penghasilan produk tempatan yang memenuhi piawaian antarabangsa serta mengamalkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi meningkatkan daya saing di pasaran global.
“Sarawak juga akan menjadi tuan rumah Borneo International Halal Showcase (BIHAS) sebagai platform memperkukuh kerjasama industri halal dan perdagangan serantau, di samping memperkasa kerjasama menerusi BIMP-EAGA serta jawatankuasa bersama Sarawak-Brunei bagi memudah cara pelaburan dan perdagangan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi BIMP-EAGA Brunei, Pengiran Dr. Haris Pengiran Durahman berkata, kerjasama serantau semakin penting dalam mendepani cabaran ekonomi global, ketidaktentuan geopolitik dan isu keselamatan makanan.
Beliau berkata Program Jelajah Usahawan Brunei-Sarawak menjadi platform strategik kepada usahawan serta agensi dari kedua-dua wilayah untuk memperluas jaringan perniagaan, bertukar pandangan dan meneroka peluang kerjasama baharu, khususnya dalam pembangunan industri halal.
Menurutnya, kerjasama tersebut mampu menggabungkan kelebihan Sarawak dari segi sumber dan kapasiti pengeluaran dengan kekuatan Brunei dalam pemprosesan, pensijilan halal serta pemasaran bagi memperkukuh industri halal serantau.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh; Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datu Lester Matthew, Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei (STATOB) Samat Junai, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Majlis Eksekutif Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Awangku Jienal Abedin Dato Pengiran Jawa.- EDISI UKAS