SIBU: Taman Rimba Bukit Lima sedang diusahakan untuk mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai taman tanah gambut terbesar dalam kawasan bandar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata pengiktirafan itu diyakini akan menarik lebih ramai pengunjung dan memberi limpahan manfaat kepada ekonomi tempatan.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar simbolik, ia akan menjadikan Bukit Lima lebih dikenali di peringkat nasional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Pusat Sehenti (OSC) Rizab Semula Jadi Taman Bukit Lima, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa dengan keluasan kira-kira 301 hektar, taman berkenaan masih mengekalkan ekosistem tanah gambut yang terpelihara dengan baik, meskipun terletak di tengah-tengah bandar Sibu.
“Laluan dari pintu masuk selatan hingga utara sepanjang 2.6 kilometer kini membolehkan kawasan rizab diakses sepenuhnya, sekali gus membuka lebih banyak ruang rekreasi kepada masyarakat,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu turut menekankan bahawa kejayaan menjadikan taman itu sebagai destinasi pelancongan bergantung kepada kerjasama pengunjung dalam menjaga kebersihan dan kelestarian.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang sampah atau merokok kerana sisa makanan boleh menarik haiwan liar manakala puntung rokok berisiko mencetuskan kebakaran di tanah gambut.
“Taman ini milik bersama. Setiap pengunjung perlu menganggapnya sebagai harta sendiri,” tambahnya.-EDISI UKAS