Festival Budaya Perkukuh Warisan, Pacu Ekonomi Komuniti
LAWAS: Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh sokongan terhadap penganjuran festival kebudayaan sebagai platform strategik untuk memelihara warisan, memperkukuh perpaduan masyarakat serta merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti menerusi pembangunan pelancongan budaya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelaburan dalam sektor kebudayaan bukan sekadar memastikan adat dan tradisi terus dipelihara, malah menyumbang kepada pembangunan modal insan, pengukuhan identiti masyarakat serta peningkatan sosioekonomi setempat.
“Kerajaan akan terus menyokong penganjuran festival kebudayaan kerana pelaburan dalam budaya turut membawa manfaat kepada perpaduan masyarakat, pembangunan belia dan pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan, Baru Bian ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Irau Aco Lun Bawang (IALB) Ke-39 Tahun 2026 di Arena Lawas, pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, Irau Aco Lun Bawang membuktikan festival kebudayaan mampu menjadi wadah yang menyatukan masyarakat, di samping memperkenalkan kekayaan warisan etnik Sarawak kepada generasi baharu dan pengunjung dari dalam serta luar negeri.
Beliau berkata, pemeliharaan warisan budaya memerlukan komitmen berterusan semua pihak, khususnya dalam memastikan adat, bahasa, muzik, tarian dan nilai tradisi masyarakat Lun Bawang terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda.
Menurutnya, penglibatan aktif golongan belia amat penting bagi memastikan warisan budaya tidak hanya dikenali sebagai tinggalan sejarah, sebaliknya terus berkembang sebagai identiti masyarakat yang relevan serta mampu menyokong pembangunan industri pelancongan budaya Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur Irau Aco Lun Bawang Ke-39, peserta, penghibur, penaja, agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan sukarelawan yang telah berganding bahu menjayakan festival berkenaan.
Majlis penangguhan itu menandakan berakhirnya Irau Aco Lun Bawang Ke-39 yang sekali lagi berjaya menghimpunkan komuniti Lun Bawang menerusi pelbagai pengisian berteraskan warisan, kebudayaan dan tradisi, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara festival kebudayaan penting di utara Sarawak.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Irau Aco Lun Bawang Ke-39 Jerry Siran.-EDISI UKAS