Jualan Rahmah Bergerak Perluas Akses Barangan Asas, Ringankan Beban Rakyat
BINTULU: Kerajaan terus memperkukuh usaha membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup menerusi pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI Bergerak yang memperluaskan akses kepada barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan, khususnya di kawasan komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Ts Johnny Pang Leong Ming berkata, inisiatif yang dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama komuniti setempat itu membolehkan rakyat menikmati penjimatan dalam perbelanjaan harian tanpa perlu bergantung kepada harga pasaran semasa.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi penjimatan kepada pengguna, malah memudahkan masyarakat mendapatkan bekalan keperluan asas tanpa perlu berbelanja pada harga pasaran yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Jualan Rahmah MADANI Bergerak di Dewan Kampung Jabai, di sini, pada Ahad.
Menurut beliau, pelaksanaan jualan bergerak membolehkan bekalan barangan keperluan dibawa lebih dekat kepada masyarakat, sekali gus memudahkan penduduk mendapatkan keperluan harian pada harga yang lebih rendah.
Beliau berkata, pengunjung yang layak turut boleh menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai kaedah pembayaran bagi pembelian barangan yang memenuhi syarat, sekali gus meningkatkan keberkesanan bantuan kerajaan kepada golongan sasar.
Antara barangan yang ditawarkan sepanjang program tersebut ialah telur, bawang merah, tepung gandum, minyak masak, biskut, mi segera, minuman segera serta pelbagai lagi keperluan harian yang dijual pada harga lebih berpatutan.
Program itu menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar yang mengambil peluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah, sekali gus mencerminkan keberkesanan inisiatif kerajaan dalam membantu meringankan tekanan kos sara hidup masyarakat.-EDISI UKAS