Belia Perlu Aktif Dalam Pembangunan Komuniti, Jadi Pelapis Kepimpinan
KAPIT: Golongan belia diseru agar terus memainkan peranan sebagai pelapis kepimpinan dengan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti bagi melahirkan generasi pemimpin yang berwibawa serta berintegriti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong berkata, penyertaan aktif golongan muda bukan sahaja mampu membentuk jati diri yang unggul, malah penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan negeri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Meraikan Kejayaan Memenangi Piala Berakit Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak sempena Kapit Raft Safari 2026 di Rumah Rantai, Nanga Semunte, Baleh, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Allan berkata, kejayaan Pasukan Rakit PBB Sarawak menjuarai Piala Berakit PBB membuktikan bahawa semangat perpaduan, disiplin, kesungguhan dan kerjasama merupakan faktor utama yang membawa kepada kecemerlangan.
Beliau turut menyifatkan Kapit Raft Safari sebagai platform yang bukan sahaja mempromosikan sukan sungai dan warisan budaya masyarakat setempat, malah menjadi medium memperkukuh hubungan silaturahim serta perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Dalam majlis sama, Allan mengumumkan sumbangan geran berjumlah RM5,000 kepada pasukan Rakit PBB Sarawak sebagai sokongan bagi mengukuhkan aktiviti dan pembangunan pasukan.-EDISI UKAS