BSGB Spaoh Autoshow Pacu Pelancongan, Rancakkan Ekonomi Setempat
SPAOH: Penganjuran BSGB Spaoh Autoshow & Gathering 2026 bukan sahaja berjaya menghimpunkan komuniti automotif dari seluruh Sarawak, malah menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan dengan menarik kehadiran ramai pengunjung ke Spaoh.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, program seumpama itu mampu memberi limpahan manfaat kepada peniaga tempatan di samping memperkenalkan Spaoh sebagai destinasi yang berpotensi untuk dikunjungi.
"Harapan kita ialah program ini dapat membantu perkembangan perniagaan di Spaoh dan menarik lebih ramai orang berkunjung ke sini.
"Hari ini saya dapat melihat kehadiran orang ramai yang sangat menggalakkan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian BSGB Spaoh Autoshow & Gathering 2026, di Perkarangan Dewan Masyarakat Spaoh, pada Ahad.
Datuk Amar Douglas Uggah berharap program berkenaan terus menjadi medium memupuk budaya automotif yang positif, beretika dan berdisiplin dalam kalangan pemilik kenderaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu berkata, kerajaan akan terus menyokong penganjuran BSGB Spaoh Autoshow & Gathering pada masa hadapan agar ia berkembang sebagai acara tahunan yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan Spaoh.
Sementara itu, Presiden Kelab Borneo Static Gladion Brigade (BSGB), Taming Sari Wahit berkata, program tersebut berjaya menghimpunkan komuniti automotif dari seluruh pelosok Sarawak dalam suasana penuh muhibah, perpaduan dan semangat kekeluargaan.
Katanya, BSGB Spaoh Autoshow & Gathering bukan sekadar pameran kenderaan, malah menjadi platform mencungkil kreativiti dalam dunia modifikasi, mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti automotif serta merancakkan ekonomi setempat menerusi penglibatan usahawan dan peniaga tempatan.
Program anjuran Kelab Borneo Static Gladion Brigade (BSGB) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil Spaoh, Majlis Daerah Betong dan Pusat Khidmat DUN Bukit Saban itu disertai sembilan kelab automotif dari seluruh Sarawak, iaitu Borneo Legacy Community, Sri Aman Culture (SAC), Kenyalang Bezza Owner Club (KBOC), District 958, Saratok Town Static Style, Bezza Brotherhood Sarawak Club (BBSC), Street Dance, Static Machine dan Boyak Stance.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Betong Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, Setiausaha Majlis Daerah Betong Lister Clement Guwie, Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh Denny Lim, ketua-ketua jabatan serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).-EDISI UKAS