41 Pemilik Tanah Terima Pampasan Projek Naik Taraf Jalan Masuk Ke Lundu
LUNDU: Seramai 41 pemilik tanah menerima pampasan bagi pengambilan tanah untuk Projek Naik Taraf Jalan Masuk ke Lundu menerusi penyerahan 46 keping cek berjumlah RM403,618.75 pada satu majlis yang diadakan di Dewan Mahligai Gading, di sini, pada Isnin.
Projek yang diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri (SPA) pada 20 Mei 2025 itu melibatkan pengambilan 38 lot tanah dengan keluasan keseluruhan 8,697.8 meter persegi, merangkumi tanah berhak milik, Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), Tanah Rizab Komunal Bumiputera (NCL) dan Tanah Kerajaan Berdaftar (SL).
Majlis penyerahan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.
Dalam ucapannya, beliau berkata projek menaik taraf jalan masuk ke Lundu merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan jangka panjang kawasan itu yang dirangka selepas beliau diberi mandat sebagai wakil rakyat pada 2021.
"Perancangan tersebut mengambil kira keperluan sebenar rakyat, khususnya bagi memastikan akses masuk ke Lundu dapat dipertingkat seiring pertambahan penduduk dan pembangunan kawasan sekitar," katanya.
Azizul turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak kerana memberi perhatian besar terhadap pembangunan Lundu, termasuk peruntukan besar bagi tiga jalan masuk utama ke kawasan tersebut.
Katanya, projek menaik taraf laluan masuk ini bukan sekadar melibatkan pembesaran jalan, tetapi turut mengambil kira keperluan masa depan termasuk ruang rizab jalan, keselamatan, aliran trafik serta kemudahan utiliti.
Dalam pada itu, Azizul menegaskan, setiap proses pengambilan tanah dilaksanakan secara teratur, telus dan mengikut peruntukan Kanun Tanah Sarawak, di samping memastikan pendekatan menang-menang terus diberi keutamaan.
Katanya, walaupun terdapat cabaran dalam pelaksanaan projek pembangunan, rakyat perlu melihat manfaat jangka panjang yang bakal dinikmati apabila kemudahan jalan siap sepenuhnya.
“Apabila projek ini siap kelak, kita akan melihat kesannya bukan sahaja dari segi keselesaan perjalanan, tetapi juga dari segi pertumbuhan ekonomi, kemasukan penduduk baharu dan pembangunan kawasan Lundu secara keseluruhan,” katanya.
Beliau turut meminta masyarakat agar bersabar sekiranya berlaku gangguan sementara sepanjang tempoh pelaksanaan projek, termasuk kerja-kerja berkaitan utiliti dan jajaran jalan.
Menurutnya, cabaran sedemikian adalah sebahagian daripada proses pembangunan, namun hasil akhirnya akan memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat. -EDISI UKAS