Projek RTP Perkukuh Kemudahan Sukan, Galak Gaya Hidup Sihat Di Opar
LUNDU: Pelaksanaan dua projek kemudahan sukan bernilai keseluruhan RM150,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Opar terus memperkukuh usaha Kerajaan Sarawak menyediakan prasarana komuniti yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada penduduk luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata kemudahan sukan yang berkualiti bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh perpaduan serta mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat.
"Setiap projek RTP yang dilaksanakan adalah berasaskan keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
"Kemudahan seperti gelanggang futsal dan sepak takraw ini memberi manfaat secara langsung kepada komuniti, terutama dalam menggalakkan aktiviti positif dalam kalangan belia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak Projek RTP di Kampung Stum Muda dan Kampung Stungkor Lama, di sini, pada Isnin.
Lawatan anjuran Majlis Daerah Lundu itu melibatkan Projek Baik Pulih Gelanggang Futsal Kampung Stum Muda bernilai RM70,000 dan Projek Baik Pulih Gelanggang Sepak Takraw Kampung Stungkor Lama bernilai RM80,000.
Billy menegaskan kepentingan pemantauan berterusan bagi memastikan kerja-kerja baik pulih dilaksanakan mengikut skop, spesifikasi serta tempoh yang ditetapkan.
Menurutnya, projek berskala komuniti itu membuktikan pembangunan di konstituensi Opar bukan hanya tertumpu kepada infrastruktur berskala besar, malah turut memberi perhatian kepada kesejahteraan sosial, rekreasi dan pembangunan komuniti setempat. -EDISI UKAS