Projek RTP RM550,000 Perkasa Kemudahan Komuniti Kampung Jugan
LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang telah mengadakan lawatan tapak ke Kampung Jugan bagi meninjau pelaksanaan dua projek berkenaan yang dianjurkan oleh Jabatan Kerja Raya.
Dua projek tersebut ialah Projek Naiktaraf Dewan Serbaguna Kampung Jugan bernilai RM200,000 serta Projek Bina Baharu Pusat Penjaja Jualan Tani Kampung Jugan bernilai RM350,000.
Pelaksanaan projek naik taraf dewan serbaguna itu dilihat mampu meningkatkan keselesaan penduduk dalam menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, termasuk mesyuarat kampung, program komuniti, sambutan perayaan, aktiviti belia, wanita serta majlis rasmi peringkat kampung.
Sementara itu, pembinaan baharu Pusat Penjaja Jualan Tani Kampung Jugan pula merupakan satu inisiatif penting bagi menyediakan ruang niaga yang lebih teratur kepada penduduk, khususnya para petani, penjaja kecil dan usahawan tempatan untuk memasarkan hasil pertanian serta produk kampung.
Billy Sujang dalam lawatan tersebut turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek RTP adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar terus diberi perhatian, bukan sahaja dari aspek infrastruktur asas, malah turut merangkumi kemudahan yang mampu menjana aktiviti ekonomi komuniti.
Beliau turut berharap agar projek yang dilaksanakan dapat disiapkan dengan baik, menepati spesifikasi serta memberi impak langsung kepada penduduk Kampung Jugan dan kawasan sekitar.
Menurut beliau, setiap projek yang dirancang perlu memberi pulangan manfaat kepada rakyat, sama ada dari segi keselesaan, keselamatan, penyertaan komuniti mahupun peluang ekonomi di peringkat akar umbi. -EDISI UKAS