Sarawak Bakal Bida Anjur Satu Lagi Kejohanan IBF Pada 2029
KUCHING: Sarawak bersedia membida hak penganjuran satu lagi kejohanan anjuran International Bowling Federation (IBF) pada tahun 2029 dengan sokongan penuh Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, kejayaan Sarawak menganjurkan Kejohanan Boling Belia Dunia IBF 2026 membuktikan negeri ini mempunyai keupayaan serta kesediaan untuk menjadi tuan rumah lebih banyak kejohanan boling bertaraf antarabangsa pada masa hadapan.
“Dengan sokongan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) dan Presidennya, Dato Mohammed Najeeb Abdullah, Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) Sunny Si Poh Heng serta seluruh pasukan, kami benar-benar bersedia pada bila-bila masa untuk menganjurkan kejohanan besar yang ingin anda adakan, termasuk pada tahun 2029.
“Encik Marios (Naib Presiden IBF), kami akan mengemukakan bidaan dengan sokongan penuh daripada Kerajaan Sarawak untuk menjadi tuan rumah satu lagi kejohanan IBF di Kuching,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutupan Kejohanan Boling Belia Dunia IBF 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Datuk Gerald turut merakamkan penghargaan kepada wakil daripada 34 negara, atlet, jurulatih, pegawai teknikal, ibu bapa, penaja, rakan media dan semua pihak yang menjayakan kejohanan tersebut.
Ujarnya, kejohanan yang berlangsung selama 10 hari itu bukan sahaja menyaksikan persaingan berkualiti tinggi, malah menjadi platform mengeratkan hubungan persahabatan dan perpaduan dalam kalangan komuniti boling dunia.
Tambahnya, sukan merupakan medium yang mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, sekali gus menyumbang kepada pembentukan dunia yang lebih harmoni.
Sehubungan itu, beliau berharap semua kontinjen membawa pulang kenangan manis mengenai keramahan rakyat Sarawak serta menjadikan persahabatan yang terjalin sepanjang kejohanan sebagai kenangan yang berkekalan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Harry Ilias