Ganjaran 11 Motosikal Menanti Pengunjung Program Sarawakku Sayang Di Sibu
SIBU: Pengunjung Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu berpeluang memenangi 11 buah motosikal melalui cabutan bertuah yang disediakan sepanjang tiga hari program berlangsung di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang Fasa 1.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Bahagian, Datu Hii Chang Kee berkata, ganjaran lumayan itu disediakan sebagai salah satu tarikan menarik khusus buat pengunjung yang hadir ke program tersebut bermula 10 hingga 12 Julai ini.
"Syaratnya mesti daftarkan e-Peraduan. Kita akan sediakan kod QR di tempat-tempat tertentu untuk pengunjung mendaftar diri.
"Cabutan bertuah akan diadakan pada setiap petang sepanjang tiga hari program berlangsung. Hadiah utama 11 buah motosikal ini akan dicabut pada hari Ahad (12 Julai) bermula jam 3:00 petang.
"Tetapi syaratnya, pemenang mesti hadir sendiri untuk menebus hadiah mereka. Kalau kita sebut nama dan tiada di situ, maaf, tiada hadiah. Kita akan bagi peluang kepada mereka yang hadir," katanya dalam sidang media di lokasi program, pada Isnin.
Selain acara cabutan bertuah, Datu Hii turut menjemput orang ramai menyertai acara Fun Run sejauh 3.5 kilometer dan Fun Walk sejauh 2.5 kilometer yang dijadual pada hari Ahad (12 Julai), bermula jam 6:30 pagi.
Katanya, perasmian akan disempurkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee.
“Bagi acara ini, penganjur menyediakan 2,000 pingat penamat (finisher medal) dan peserta diminta memakai baju T sendiri.
“Pelbagai aktiviti sukan untuk belia turut dianjurkan di sekitar dataran sepanjang tiga hari program tersebut,” katanya.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Residen Bahagian Sibu Superi Awang Said, Setiausaha Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Henry Jalin Watt, Timbalan Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) Ashree Wee dan Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Mohamed Faizal Shah Ali. - EDISI UKAS