Sarawak Sasar Muncul Hab Orkid Bertaraf Antarabangsa
KUCHING: Sarawak berpotensi besar untuk muncul sebagai hab orkid bertaraf antarabangsa berasaskan kekayaan biodiversiti unik serta sumber semula jadi yang melimpah di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, Sarawak dianggarkan memiliki lebih 1,300 spesies orkid bernilai tinggi, sekali gus memberi kelebihan kompetitif untuk dibangunkan sebagai industri berimpak tinggi.
Menurut beliau, dengan iklim yang kondusif serta kepelbagaian flora yang luar biasa, Sarawak mempunyai asas kukuh untuk dikenali di peringkat global sebagai pusat pengeluaran dan inovasi orkid.
“Dengan kekayaan biodiversiti yang tiada tandingannya, sumber semula jadi yang melimpah serta iklim yang sesuai, Sarawak mampu dikenali sebagai hab orkid bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Sarawak Orchid Society (SARORSO) kali ketiga bagi meraikan pencapaian graduan dalam pelbagai program berkaitan industri orkid di UNIMAS pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa negara seperti Taiwan, China, Thailand dan Belanda telah lama membuktikan industri orkid mampu menjadi penyumbang ekonomi yang signifikan, sekali gus membuka peluang luas untuk Sarawak mencontohi kejayaan tersebut.
Tambahnya, pendekatan holistik yang menggabungkan elemen kepimpinan, keusahawanan dan kemahiran teknikal amat penting dalam usaha meningkatkan nilai komersial produk berasaskan orkid serta memperkasa usahawan tempatan.
Majlis tersebut turut menyaksikan pengiktirafan graduan daripada tiga program utama iaitu Program Perantisan Kepimpinan Wanita (Perantis), JOCC Kota Samarahan serta Program JIVOM MRSM Kuching.
Program Perantis yang dilaksanakan melalui Jabatan Pembangunan Wanita terbukti berjaya melahirkan usahawan wanita berdaya saing dengan rekod pendapatan peserta mencecah sehingga RM8,000 sebulan.
Seiring itu tambah Dato Sri Nancy, Kerajaan Persekutuan terus komited menyokong agenda pemerkasaan wanita dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi pelaksanaan program berkenaan sepanjang tahun ini.
Beliau turut menyeru para graduan agar berani mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh serta berkongsi ilmu demi membentuk komuniti usahawan yang lebih berdaya tahan dan kompetitif.
Katanya, majlis berkenaan bukan sahaja menjadi platform pengiktirafan pencapaian graduan, malah berperanan sebagai pemangkin pembangunan industri orkid serta pengukuhan jaringan usahawan di Sarawak.-EDISI UKAS