Orang Ramai Dijemput Meriahkan Program Sarawakku Sayang Di Sibu
SIBU: Orang ramai dijemput memeriahkan Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Julai di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, dengan pelbagai perkhidmatan kerajaan, pameran, peluang pekerjaan dan aktiviti disediakan kepada pengunjung.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee merangkap Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Bahagian (Sibu, Sarikei, Mukah dan Betong), berkata persiapan program kini hampir siap sepenuhnya.
“Objektif utama program ini adalah untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui konsep pusat sehenti.
“Orang ramai boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk permohonan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), bantuan kebajikan, peluang pekerjaan melalui JobSarawak serta menghadiri temu duga secara terus bersama 10 syarikat swasta yang mengambil bahagian.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 47 agensi kerajaan akan menyediakan 158 kaunter perkhidmatan merangkumi permohonan bantuan, pendidikan, peluang pekerjaan, saringan kesihatan, khidmat kaunseling, urusan aduan awam dan pelbagai lagi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, pada Isnin.
Beliau berkata, Sarawak Pavilion akan dibuka kepada orang ramai mulai jam 9 pagi pada 10 Julai, menempatkan pelbagai pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan, manakala Sarawak Kitchen & Sales turut memulakan operasi pada hari yang sama.
Menurutnya, Sarawak Pavilion turut mempamerkan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di Bahagian Sibu termasuk projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Selain itu, Sarawak Kitchen & Sales turut menawarkan pelbagai makanan tempatan seperti kampua, kompia, dabai dan lain-lain, di samping produk makanan kering daripada usahawan tempatan,” katanya.
Beliau berkata, hari pertama program turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan anjuran Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) yang menampilkan artis serta penyanyi tempatan.
Menurutnya lagi, kemuncak program ialah pada 11 Julai apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijadual merasmikan SKS Peringkat Bahagian Sibu pada jam 10.30 pagi di pentas utama, dengan sasaran kehadiran melebihi 5,000 pengunjung.
“Sebelum majlis perasmian, Premier Sarawak dijadual mengadakan lawatan ke Taman Rimba Bukit Lima bagi meninjau kemajuan projek rakyat termasuk pembinaan laluan papan sepanjang 600 meter sebelum bersarapan di Pasar Sentral Sibu pada jam 8.30 pagi.
“Pada sebelah malam 11 Julai pula, Konsert Rakyat akan berlangsung mulai jam 8 malam dengan penyertaan artis tempatan dan Kuching,” katanya.
Sementara itu, selesai sidang media, Datu Hii turut dijemput untuk sesi temubual khas mengenai Program SKS Peringkat Bahagian Sibu di premis Radio Televisyen Malaysia (RTM) Cawangan Sibu.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Residen Bahagian Sibu Superi Awang Said, Setiausaha Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Henry Jalin Watt, Timbalan Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) Ashree Wee dan Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Mohamed Faizal Shah Ali. - EDISI UKAS