WOW SmartCut Gaya N75 Senadin Cipta Rekod Baharu Malaysia Book of Records
MIRI: Program WOW SmartCut Gaya N75 Senadin mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records dengan jumlah 1,370 penerima potongan rambut percuma dalam satu penganjuran yang berlangsung di Permy Mall, Bandar Baru Permyjaya, pada Ahad.
Pencapaian tersebut mencerminkan semangat kesukarelawanan dan kerjasama komuniti yang tinggi, sekali gus membuktikan keprihatinan pelbagai pihak dalam membantu masyarakat setempat.
Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada Persatuan Kebajikan Prihatin Miri (WOW), Pusat Khidmat DUN N75 Senadin, seramai 40 barber dan hairstylist, sukarelawan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Menurut beliau, kejayaan mencapai angka 1,370 peserta bukan sahaja membanggakan penganjur, malah turut mengharumkan nama Miri dan Sarawak di peringkat kebangsaan.
“Pencapaian ini membuktikan semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan masyarakat serta kesanggupan para hairstylist dan sukarelawan menyumbangkan masa dan kepakaran mereka demi manfaat rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para peserta yang hadir memberikan sokongan padu sehingga sasaran program berjaya dicapai.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan hasrat untuk menjadikan Program WOW SmartCut Gaya N75 Senadin sebagai acara tahunan di kawasan tersebut berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat.
Tambah beliau, penglibatan lebih ramai pihak termasuk barber, sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan komuniti setempat amat dialu-alukan bagi memastikan program seumpama ini dapat diperluaskan pada masa hadapan.
Program tersebut bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui perkhidmatan percuma, malah berperanan sebagai platform memperkukuh hubungan komuniti serta memupuk budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKAS