TYT Sarawak Terima Kunjungan Hormat Duta Besar Ukraine Ke Malaysia
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menerima kunjungan hormat Duta Besar Ukraine Ke Malaysia Dr Hennadii Nadolenko di Astana Negeri Sarawak pada Selasa.
Kunjungan tersebut bagi menyatakan hasrat memperluaskan kerjasama dengan Sarawak dalam pelbagai sektor strategik termasuk keterjaminan makanan, tenaga, teknologi digital dan pembangunan infrastruktur.
Menurut Dr Hennadii, Sarawak memiliki kekuatan dalam pembangunan infrastruktur, ekonomi serta teknologi yang boleh diteroka bersama Ukraine menerusi kerjasama jangka panjang.
"Kami telah bertukar pandangan mengenai beberapa idea yang sangat menarik berkaitan potensi kerjasama antara Ukraine dan Sarawak, termasuk melibatkan komuniti perniagaan Ukraine.
"Bagi saya, hubungan paling penting antara sesebuah negara adalah hubungan sesama rakyat.
"Hubungan antara rakyat dan sektor perniagaan amat penting, dan kami benar-benar berharap dapat terus membangunkan jaringan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita.
Tambahnya, Ukraine turut melihat kepakaran syarikat Malaysia, khususnya di Sarawak dalam pembinaan jalan raya, jambatan dan infrastruktur sebagai antara bidang yang boleh diterokai bagi menyokong usaha pembangunan semula negaranya.
Menurutnya lagi, pertemuan bersama Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi berlangsung dalam suasana positif dengan kedua-dua pihak bersetuju meneruskan komunikasi serta meneroka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada Sarawak dan Ukraine. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Shahril Haqim