SUF 2.0 Perkasa Pembangunan Bandar Mampan Di Kuching
KUCHING: Sarawak Urban Forum (SUF) 2.0 akan kembali dianjurkan pada 24 hingga 27 Oktober 2026 di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching, dengan sasaran penyertaan kira-kira 1,000 peserta dari dalam dan luar negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, forum anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara itu mengangkat tema “Future Ready Cities: Building Resilient Futures – Collaborate, Adapt and Thrive”.
Menurut beliau, penganjuran kali ini menumpukan kepada kepentingan kerjasama strategik, keupayaan menyesuaikan diri serta daya tahan dalam membentuk bandar masa depan yang mampan dan inklusif.
Katanya, SUF 2.0 akan menghimpunkan pembuat dasar, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, sektor swasta, institusi akademik serta pemain industri bagi membincangkan cabaran urbanisasi dan perubahan global termasuk perubahan iklim.
“Forum ini turut menjadi platform untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam pembangunan bandar,” katanya pada sidang media di Waterfront Hotel Kuching, pada Rabu.
Tambah beliau, antara pengisian utama termasuk pameran inovasi yang melibatkan kira-kira 20 pempamer daripada pelbagai agensi dan sektor swasta.
Selain itu, forum tersebut akan menyaksikan pelancaran Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Kuching hasil kerjasama DBKU dan Universiti Malaysia Sarawak.
Tiga projek strategik turut diperkenalkan iaitu Unity Park, Bamboo Garden di Kuching Civic Centre serta Kuching Park Connector yang menyokong agenda bandar rendah karbon dan peningkatan kualiti hidup.
Dalam pada itu, program Stakeholders Assembly akan diteruskan sebagai platform penglibatan komuniti merangkumi majlis kanak-kanak, belia dan warga emas bagi menyuarakan pandangan dalam pembangunan bandar.
SUF 2.0 juga memberi ruang kepada perusahaan sosial untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan sekali gus menyokong pembangunan ekonomi komuniti.
Turut hadir , Datuk Bandar Bandaraya Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS