MIRI: Peserta Persidangan Antarabangsa Pelancongan dan Hospitaliti Bertanggungjawab (ICRTH) 2026 berpeluang menikmati pengalaman budaya Korea menerusi penganjuran Malam Korea yang menampilkan persembahan kebudayaan, gastronomi dan pelbagai aktiviti interaktif.
Program yang berlangsung di Musical Corridor, Eastwood Valley Golf & Country Club pada Selasa itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Penasihat ICRTH dan Pengarah Jabatan Serantau Asia dan Pasifik, UN Tourism, Harry Hwang dalam ucapan khasnya menekankan kepentingan pertukaran budaya serta kerjasama pelancongan dalam memperkukuh persefahaman antara negara.
Hadirin turut mendengar ucapan alu-aluan daripada Prof. Dr. Lee Seul Ki dari Sejong University sebelum dipersembahkan video promosi yang mengetengahkan destinasi pelancongan, budaya dan pengalaman unik yang ditawarkan Republik Korea.
Acara dimeriahkan dengan kuiz interaktif ‘Cuisine or Consequence: The Ultimate Korean Food Quiz’ yang menguji pengetahuan peserta mengenai makanan tradisional Korea sambil menceriakan suasana dengan penyertaan aktif para delegasi.
Pelbagai permainan interaktif turut diadakan bagi menggalakkan penglibatan peserta daripada pelbagai negara, sekali gus mengeratkan hubungan serta persefahaman rentas budaya.
Program diakhiri dengan pameran dan sesi merasa hidangan autentik Korea yang memberi peluang kepada peserta menikmati keunikan gastronomi negara itu sambil menjalinkan rangkaian bersama delegasi, pemain industri pelancongan dan komuniti setempat.-EDISI UKAS