Seminar Undang-Undang Keluarga Islam Tingkatkan Kefahaman Masyarakat, Elak Kekeliruan Hak Syariah
LUNDU: Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak menjadi platform penting untuk meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap hak-hak yang diperuntukkan di bawah syariat Islam, sekali gus mengelakkan kekeliruan berhubung isu kekeluargaan, perceraian dan pengurusan harta pusaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, masyarakat khususnya pemimpin akar umbi perlu memahami dengan jelas aspek berkaitan hak selepas perceraian, nafkah, hak penjagaan anak serta pembahagian harta pusaka agar dapat membantu menyampaikan maklumat yang tepat kepada komuniti.
“Adalah penting supaya tiada lagi kekeliruan dalam kalangan masyarakat, terutamanya mengenai pembahagian harta pusaka dan prosedur tuntutan selepas perceraian.
“Wanita juga perlu menyedari bahawa setiap hak mereka telah digariskan dengan jelas dalam al-Quran serta undang-undang sedia ada, dan ilmu ini perlu dikuasai bagi melindungi diri serta keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penangguhan Seminar Kefahaman Undang-Undang Keluarga Islam Sarawak sempena Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak (MIS) 1448H/2026M Zon Selatan bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’ di Dewan Mahligai Gading di sini pada Rabu.
Seminar anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) dengan kerjasama MIS itu menghimpunkan seramai 179 peserta dan bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai Undang-Undang Keluarga Islam, hak selepas perceraian, pengurusan harta pusaka orang Islam serta peranan agensi berkaitan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Azizul turut berharap peserta yang hadir dapat berperanan sebagai ejen penyampai maklumat di kawasan masing-masing bagi memperluaskan kefahaman masyarakat mengenai proses serta perkhidmatan Syariah.
Sepanjang seminar berlangsung, peserta mengikuti slot Pembubaran Perkahwinan dan Hak-Hak Selepas Perkahwinan yang disampaikan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Kuching, Athirah Morni, selain Forum Syariah Perdana mengenai pengurusan harta pusaka orang Islam yang melibatkan panel daripada JKSS, Pejabat Daerah Lundu serta Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
Program turut diserikan dengan pameran dan kaunter khidmat nasihat daripada beberapa agensi termasuk JKSS, Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Pejabat Daerah Lundu, Tabung Baitulmal Sarawak dan Amanah Saham Bumiputera Nasional yang menyediakan khidmat berkaitan perceraian, nafkah, hak penjagaan anak, Sulh, faraid, hibah, wasiat, pengurusan pusaka dan urusan tanah.
Pada majlis sama, Azizul turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 50 penerima terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan keluarga memerlukan dari Zon Sampadi, Lundu dan Sematan.
Turut hadir Ketua Hakim Syarie Sarawak, Datu Awg Suhaili Ledi dan Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail. -EDISI UKAS