Persiapan Konvoi Bermotosikal Premier Sarawak Diperhalusi
SEBUYAU: Persiapan konvoi bermotosikal yang akan diketuai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ke Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar terus diperhalusi menerusi lawatan tapak melibatkan pelbagai agensi bagi memastikan aspek keselamatan, logistik dan penyelarasan perjalanan berada pada tahap terbaik.
Lawatan yang diadakan di kawasan Jambatan Batang Lupar itu diketuai Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Abdul Wahab Rahim bersama wakil Pegawai Daerah Sebuyau, Louis Andria Barieng, Ketua Polis Daerah Simunjan, Rafhan Kepli serta agensi berkaitan.
Tinjauan tersebut memberi tumpuan kepada penyelarasan laluan konvoi, kawalan keselamatan, pengurusan trafik, lokasi persinggahan serta tahap kesiapsiagaan semua agensi yang terlibat bagi memastikan perjalanan rombongan berlangsung dengan lancar dan selamat.
Selain itu, perbincangan turut memfokuskan penyelarasan logistik, penyediaan kemudahan di tapak majlis serta pembahagian tugas antara agensi keselamatan, pihak penganjur dan jabatan berkaitan bagi memastikan setiap aspek pelaksanaan program diselaras dengan teratur.
Premier Sarawak dijangka mengetuai konvoi bermotosikal bersama rombongan menuju ke tapak Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar sebagai simbolik semangat kebersamaan serta sokongan terhadap penganjuran majlis berkenaan.
Kerjasama erat antara semua agensi yang terlibat diyakini mampu memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus menjamin kelancaran perjalanan konvoi serta keselamatan sepanjang program berlangsung. -EDISI UKAS