SEMATAN: Komuniti nelayan di Sematan menerima suntikan bantuan melebihi RM577,000 menerusi pelbagai bantuan dan projek di bawah Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) yang bertujuan memperkukuh ekonomi nelayan, merancakkan keusahawanan serta memelihara kelestarian sumber perikanan marin.
Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, program berkenaan bukan sekadar platform penyerahan bantuan, malah menjadi medan interaksi antara JPLS dengan komuniti nelayan bagi mendengar pandangan, mengenal pasti keperluan serta menyelesaikan isu yang dihadapi termasuk berkaitan pembaharuan lesen dan sokongan kepada komuniti perikanan.
Beliau turut mengingatkan warga kerja JPLS supaya terus responsif, cekap dan peka terhadap keperluan komuniti nelayan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Interaksi dan Penyerahan Bantuan Touch Point Nelayan Sematan Tahun 2026, di sini pada Rabu.
Pada majlis tersebut, seramai 40 pengusaha Komuniti Sampadi menerima Bantuan Touch-Point Komuniti berjumlah RM40,000 di bawah Program Pembangunan Usahawan dan Pemindahan Teknologi Perikanan bagi melaksanakan Projek Pemprosesan Produk Hiliran Perikanan.
Turut menerima bantuan di bawah Bantuan myAgropreneur Perikanan (myAP) ialah Sidi @ Saini Weng yang menerima RM20,000 bagi Projek Produk Hiliran Perikanan, Hazemi Jol (RM17,950) bagi Projek Jualan Ais Batu dan Lizawati Abdullah (RM8,300) bagi Projek Produk Hiliran Perikanan.
Selain itu, wakil myKomuniti Perikanan (myKP) Sematan 2, Mohamad Asim Juss menerima replika cek berjumlah RM27,192 bagi pelaksanaan Projek Agro Pelancongan.
Dalam usaha memperkukuh pemuliharaan sumber marin, Ketua Jaringan Perikanan (KJP) Telok Melano, Mohamad Jini turut menerima replika cek bernilai RM464,569 bagi projek pembinaan dan pelabuhan tukun tiruan jenis rekreasi di perairan Telok Melano di bawah Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Marin di Perairan Sarawak.
Menurut Abdul Rahman, projek tersebut merupakan pelaburan jangka panjang bagi memperkayakan habitat marin, menggalakkan pembiakan ikan, meningkatkan biodiversiti serta memastikan stok sumber perikanan terus terpelihara.
Beliau berkata, sebanyak 35 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di perairan Telok Melano dan dijangka memberi manfaat kepada komuniti nelayan serta penggiat perikanan rekreasi di kawasan tersebut.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa sumber laut perlu diurus secara mampan dan bertanggungjawab serta menyeru komuniti nelayan agar terus bekerjasama memelihara sumber perikanan dengan mengelakkan penggunaan peralatan menangkap ikan yang dilarang.
Turut hadir Ketua Wilayah Perikanan 1 Kuching Jackson Clive Jusak dan Timbalan Pegawai Daerah Lundu Anwar Fakhriyuddin Matamit. -EDISI UKAS