Gabungan Pesta Sebauh, AgroFest Dijangka Tarik Lebih Ramai Pengunjung
BINTULU: Gabungan Pesta Sebauh 2026 dan AgroFest Sebauh 2026 dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh sektor pelancongan, pertanian dan keusahawanan di daerah ini menerusi pelbagai aktiviti yang disusun sepanjang penganjurannya.
Pegawai Daerah Sebauh, Thadeus Ling Bartholomew Allu berkata, Pesta Sebauh yang berlangsung dari 3 hingga 12 Julai merupakan acara tahunan yang telah didaftarkan secara rasmi dalam kalendar pelancongan Sarawak dan dianjurkan sepenuhnya oleh Pejabat Daerah Sebauh.
Menurutnya, penganjuran tahun ini lebih istimewa apabila digabungkan dengan AgroFest Sebauh 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 12 Julai di lokasi sama, sekali gus memperluas tarikan kepada pengunjung selain mempromosikan sektor pertanian, keusahawanan dan produk tempatan.
“Pesta Sebauh pada kali ini merupakan satu acara yang unik kerana ia merupakan gabungan antara Pesta Sebauh dan AgroFest Sebauh 2026 yang akan berlangsung mulai 10 hingga 12 Julai di tapak yang sama.
“Pelbagai aktiviti dan reruai jualan juga akan disediakan untuk pengunjung yang hadir,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Sebauh 2026 di Parking Lot BDA Sebauh, pada Isnin.
Beliau berkata sepanjang tempoh penganjuran, lebih 40 gerai usahawan tempatan menawarkan pelbagai produk termasuk makanan, minuman, pakaian dan kraftangan, selain pentas rakyat yang menampilkan persembahan artis tempatan serta artis jemputan.
Katanya, antara pengisian utama ialah pertandingan sepak takraw, pertandingan Ratu Ibu Kebaya yang disertai 16 peserta, program Gaya Hidup Sihat, Sebauh Bike Show yang dijangka menghimpunkan kira-kira 250 motosikal berkuasa tinggi serta Battle of the Band yang terbuka kepada penyertaan dari seluruh Sarawak.
Thadeus berkata, acara kemuncak Pesta Sebauh ialah Power Boat Race 2026 yang berlangsung pada 11 dan 12 Julai dengan penyertaan lebih 50 pasukan termasuk dari Brunei, selain dijangka menarik kehadiran melebihi 20,000 pengunjung.
Bagaimanapun, beliau berkata perlumbaan Regata tidak dapat dianjurkan tahun ini berikutan kekangan masa untuk membuat persiapan dan menarik penyertaan memandangkan banyak acara lain turut berlangsung di seluruh Sarawak dalam tempoh yang sama.-EDISI UKAS