Hari Wanita Sarawak 2026 Perkasa Penyertaan Wanita Dalam Ekonomi Digital
KUCHING: Sambutan Hari Wanita Sarawak (HW26) 2026 yang akan berlangsung pada 2 Ogos depan bakal menjadi platform memperkasa penyertaan wanita dalam ekonomi digital menerusi pelbagai pengisian aktiviti.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sambutan bertemakan ‘Sarawak Women in Digital Economy’ itu akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.
Menurut beliau, seramai 800 jemputan dijangka menghadiri majlis tersebut secara fizikal, manakala 45 daerah di seluruh Sarawak akan mengikuti sambutan itu secara dalam talian menerusi siaran langsung di platform Facebook dan YouTube UKAS.
Katanya, sambutan itu turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk forum bertajuk ‘Sarawak Women in Digital Economy’, pameran melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), agensi di bawah kementerian, rakan strategik serta usahawan wanita.
“Majlis ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian wanita Sarawak, malah menjadi platform memperkasakan penyertaan wanita dalam ekonomi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Sarawak Women in Digital Economy di Galeri Pustaka Sarawak, pada Selasa.
Tambah beliau, sambutan itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Tokoh Wanita Sarawak melibatkan tujuh kategori iaitu Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib, Anugerah Premier Sarawak Kepimpinan Wanita, Anugerah Premier Sarawak Usahawan Wanita, Anugerah Premier Sarawak Penggiat Sosial Wanita, Anugerah Premier Sarawak NGO Cemerlang, Anugerah Premier Sarawak Pemimpin Muda Wanita serta Anugerah Khas Premier Sarawak – Sarawak Women in Digital Economy. - EDISI UKAS