Jambatan Sejingkat Bakal Pacu Pembangunan Sosioekonomi Demak Laut
KUCHING: Pembinaan Jambatan Sejingkat bakal menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi di kawasan Demak Laut apabila dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 56,000 penduduk, di samping memperkukuh jaringan perhubungan antara Kuching dan Samarahan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, projek infrastruktur strategik itu bukan sahaja membawa limpahan pembangunan kepada Demak Laut dan Sejingkat, malah turut memberi impak positif kepada pembangunan Sarawak secara keseluruhan.
Menurut beliau, kawasan Tanjung Embang yang merupakan sebahagian daripada Demak Laut dengan keluasan kira-kira 15,000 hektar mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai hab pertumbuhan baharu, termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu dan pelabuhan laut dalam.
“Kawasan Tanjung Embang yang merupakan sebahagian daripada Demak Laut seluas kira-kira 15,000 hektar berpotensi menjadi lokasi pembangunan berskala besar termasuk cadangan pembinaan lapangan terbang baharu serta pelabuhan laut dalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Jambatan Sejingkat pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau mewakili seluruh penduduk Demak Laut, Petra Jaya dan Kuching merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, barisan Kabinet Sarawak serta Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak atas komitmen merealisasikan projek tersebut.
Datuk Dr Hazland berkata, Demak Laut yang kini mempunyai kira-kira 56,000 penduduk melibatkan 40 kampung merupakan kawasan yang luas, hampir menyamai separuh keluasan Negeri Sembilan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Demak Laut akan menyaksikan pelaksanaan lima lagi projek perumahan di Tanjung Bako, Sejingkat, Gobil dan Bako bagi memenuhi keperluan penempatan penduduk.
Menurutnya, setiap projek dijangka menyediakan antara 600 hingga lebih 1,000 unit rumah, sekali gus menyokong pertambahan penduduk serta merancakkan pembangunan kawasan berkenaan.
Tambah beliau, pelaksanaan projek infrastruktur dan pembangunan perumahan itu diyakini mampu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di Demak Laut serta kawasan sekitar Kuching dan Samarahan melalui rangkaian jalan raya yang lebih cekap dan sistematik.
Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo. -EDISI UKAS