Jambatan Batang Sejingkat Capai 94 Peratus, Dijangka Siap Lebih Awal Oktober Ini
KUCHING: Projek Jambatan Batang Sejingkat kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 94 peratus, mendahului jadual sebanyak satu peratus, dan dijangka siap lebih awal daripada tarikh kontrak pada 22 Oktober tahun ini.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, dengan perkembangan semasa, projek berkenaan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh kira-kira dua bulan lagi.
“Sehingga hari ini, kemajuan projek Jambatan Batang Sejingkat berada pada 94 peratus dan sedikit mendahului jadual iaitu satu peratus.
"Secara keseluruhannya, jambatan ini dijangka siap pada Oktober tahun ini, malah lebih awal daripada jadual asal,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan di tapak projek Jambatan Sejingkat di sini pada Selasa.
Menurut beliau, Jambatan Batang Sejingkat merupakan laluan pertama di bawah pembangunan Second Trunk Road Sarawak yang menghubungkan Sejingkat, Kuching dengan keseluruhan jajaran Jalan Lingkaran Kedua negeri ini.
Katanya, prestasi pelaksanaan keseluruhan pakej Second Trunk Road juga amat memberangsangkan dengan beberapa projek berada lebih awal daripada jadual.
Mengulas mengenai baki kerja pembinaan, beliau berkata ia kini tertumpu kepada pembinaan jalan pendekat di kedua-dua belah jambatan, khususnya di sebelah Sejingkat, manakala kerja di bahagian Tanjung Bako hampir siap sepenuhnya.
Jelas beliau, jambatan sepanjang 1.2 kilometer itu direka mengikut standard R5 dengan dua lorong berkembar dan bakal menjadi laluan utama bagi pengguna dari kawasan pesisir serta pedalaman Sarawak menuju ke Kuching.
“Apabila jambatan ini siap nanti, akan berlaku pertambahan kenderaan dari kawasan pesisir dan pedalaman Sarawak yang menggunakan laluan ini untuk ke Kuching,” katanya.
Beliau turut memaklumkan jambatan itu dianggarkan mampu menampung kira-kira 15,000 kenderaan sehari selepas dibuka kepada orang ramai nanti.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata projek Jambatan Batu Belat yang menghubungkan kawasan Tanjung Embang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan peruntukan hampir RM300 juta.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak turut merancang beberapa lagi jajaran jalan bagi menyokong pembangunan lapangan terbang baharu serta pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang pada masa hadapan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni-EDISI UKAS