Sarawak Perkukuh Agenda Pelancongan Bertanggungjawab Melalui ICRTH
MIRI: Sarawak terus memperkukuh agenda pelancongan bertanggungjawab bagi memastikan pertumbuhan industri itu memberi manfaat kepada komuniti setempat tanpa menjejaskan alam sekitar.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan sektor pelancongan perlu diseimbangkan dengan pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti, bukan hanya tertumpu kepada peningkatan jumlah pelawat.
"Kita mengalu-alukan lebih ramai pelancong, tetapi kita tidak mahu berlaku ‘overtourism’. Kita mahu pelawat yang datang menghargai keindahan hutan, sungai dan alam semula jadi yang kita miliki, manakala masyarakat tempatan turut menikmati manfaat daripada kehadiran mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan International Conference on Responsible Tourism and Hospitality (ICRTH) di Miri pada Selasa.
Katanya, pengusaha hotel, homestay, restoran serta pemandu pelancong perlu memahami bahawa kejayaan industri pelancongan bukan hanya bergantung kepada keuntungan, tetapi juga kepada keupayaan menjaga kelestarian destinasi dan memastikan manfaatnya dapat dikongsi bersama masyarakat.
"Konsep ini dipanggil ‘responsible tourism’. Kita mahu mendidik semua pemain industri supaya mereka bukan sekadar memikirkan keuntungan, tetapi turut memainkan peranan memelihara khazanah yang kita miliki," katanya.
Sementara itu ICRTH yang berlangsung pada 6 hingga 11 Julai ini menghimpunkan kira-kira 170 delegasi dari pelbagai negara di sini.
Terdahulu dalam ucapan, Dato’ Sri Abdul Karim berkata, persidangan itu menjadi platform penting untuk berkongsi amalan terbaik dalam pelancongan bertanggungjawab di samping meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemain industri mengenai kepentingan memelihara alam sekitar dan memperkasa komuniti tempatan.
Beliau berkata, persidangan yang diasaskan oleh Sarawak itu kini berkembang menjadi platform antarabangsa dan diadakan secara bergilir di beberapa negara.
Menurutnya, selepas penganjuran sulung di Sarawak, persidangan tersebut pernah diadakan di Indonesia dan Filipina sebelum kembali ke Sarawak tahun ini, manakala edisi akan datang dijadual berlangsung di Vietnam dan Korea Selatan.
“Perkembangan itu membuktikan inisiatif yang dimulakan oleh Sarawak semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa, sekali gus menarik penyertaan pakar dan pengamal industri pelancongan dari pelbagai negara,” ujarnya.
Pada majlis yang sama beliau turut menyampaikan anugerah kepada individu dan organisasi dari Brunei, Vietnam, Thailand, Indonesia, Filipina dan Malaysia yang mengamalkan prinsip pelancongan bertanggungjawab.
Hadir sama Timbalannya Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Pengerusi Sarawak Tourism Board Dato’ Dennis Ngau Penasihat ICRTH merangkap Pengarah Regional Department for Asia and the Pacific, UN Tourism Harry Hwang dan Pengerusi Sarawak Research Society and President of Responsible Borneo Profesor Dr. Hiram Ting.–EDISI UKAS