Buku ‘Sarawak Women in Digital Economy’ Perkasa Peranan Wanita Dalam Ekonomi Digital
KUCHING: Pelancaran buku Sarawak Women in Digital Economy menjadi manifestasi komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkasa penyertaan wanita sebagai peneraju ekonomi digital selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, transformasi digital dan inovasi teknologi kini menjadi pemacu utama pembangunan negeri, justeru wanita perlu diberi ruang untuk tampil sebagai pemain industri dan pemimpin digital.
Menurut beliau, kementeriannya mahu melonjakkan pencapaian wanita daripada landskap konvensional kepada domain ekonomi digital yang semakin berkembang.
“Kita mahu memastikan wanita Sarawak bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah bangkit sebagai pemain industri dan pemimpin digital yang menyokong penuh visi Sarawak Maju 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Buku 'Sarawak Women in Digital Economy' di Galeri Pustaka Sarawak, pada Selasa.
Dato Sri Fatimah menambah, buku edisi ke-14 itu menampilkan 23 personaliti wanita Sarawak daripada pelbagai bidang termasuk akademia, penyelidikan, pentadbiran, pembangunan sistem, kecerdasan buatan (AI) dan keusahawanan digital yang telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negeri.
Keistimewaan penerbitan kali ini ialah buat pertama kalinya buku tersebut diintegrasikan dengan teknologi Augmented Reality (AR), membolehkan pembaca mengimbas kod QR untuk mengakses video pengenalan diri serta galeri maya setiap personaliti yang dipaparkan.
“Melalui inovasi AR ini, 23 personaliti wanita kita berkongsi kisah perjalanan peribadi, cabaran profesional serta inovasi digital berimpak tinggi yang mereka terajui,” ujar beliau.
Jelasnya, buku berkenaan turut diterbitkan dalam versi e-book bagi membolehkan kandungan interaktif itu diakses dengan lebih meluas tanpa batasan geografi.
Menurutnya, sejak siri Buku Wanita Sarawak diperkenalkan pada 2010, sebanyak 14 naskhah telah diterbitkan yang menghimpunkan 405 personaliti wanita daripada pelbagai bidang sebagai dokumentasi rasmi sumbangan wanita terhadap pembangunan Sarawak.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan Buku, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Sharifah Zakiah Tuanku Fauzi, Penasihat Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) Datu Dr Sabariah Putit, Ahli Majlis Tertinggi Wanita PBB Datin Esther Mujan Balan serta Pengerusi Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak Datuk Norhyati Mohd Ismail.- EDISI UKAS