KUCHING: Koperasi di Sarawak disaran memperkukuh rantaian nilai dan mengadaptasi pendigitalan bagi meningkatkan daya saing sektor eko-pelancongan serta merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti secara mampan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada model perniagaan tradisional, sebaliknya perlu memanfaatkan peluang dalam sektor eko-pelancongan melalui kerjasama yang lebih strategik dan bersepadu.
Menurut beliau, koperasi pertanian, pelancongan, peruncitan dan kraftangan perlu saling melengkapi bagi memastikan nilai ekonomi terus beredar dalam komuniti setempat.
"Sebagai contoh, koperasi pertanian boleh membekalkan hasil segar kepada chalet dan inap desa melalui konsep Farm-to-Table, manakala koperasi peruncitan dan kraftangan pula boleh memasarkan produk komuniti di destinasi pelancongan.
"Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan koperasi, malah memperkukuh ekonomi tempatan secara mampan," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dalam Majlis Penutupan Program Bicara Ilmu Eko-Pelancongan Koperasi di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Tambahnya, sehingga kini terdapat lebih 16,468 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 7.33 juta orang, aset melebihi RM186.75 bilion dan perolehan tahunan lebih RM81 bilion, sekali gus membuktikan kekuatan ekonomi gerakan koperasi dalam menyumbang kepada pembangunan negara.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah menegaskan, pendigitalan perlu menjadi antara keutamaan gerakan koperasi bagi memastikan produk dan destinasi pelancongan dapat dipromosikan secara lebih meluas.
Katanya, koperasi perlu memanfaatkan teknologi digital melalui pemasaran dalam talian, penggunaan kemudahan pembayaran tanpa tunai seperti S PAY Global serta sistem pengurusan data pelawat yang lebih sistematik bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelawat.
"Dalam era digital, koperasi juga perlu mengadaptasi konsep Smart Tourism kerana produk dan destinasi yang unik tidak akan mencapai potensi sebenar sekiranya tidak dipromosikan secara berkesan melalui platform digital," ujar beliau. -EDISI UKAS