Tilawah Al-Quran Jadi Medium Cungkil Bakat Qari, Qariah Baharu Di Sarikei
SARIKEI: Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Sarikei terus memainkan peranan penting dalam mencungkil bakat qari dan qariah baharu serta memperkukuh syiar Islam menerusi penghayatan terhadap kalam Allah.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, pertandingan tersebut bukan sekadar medan menguji mutu bacaan peserta, malah menjadi platform membentuk generasi yang berilmu, berkemahiran dan berkeyakinan untuk membawa nama Bahagian Sarikei ke peringkat lebih tinggi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, penguasaan ilmu tajwid dan taranum perlu diperkasakan secara berterusan kerana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam memperindahkan bacaan Al-Quran sekali gus membantu meningkatkan penghayatan terhadap mesej yang disampaikan.
Katanya, usaha itu juga mampu menarik lebih ramai golongan muda mendekati Al-Quran serta menyertai aktiviti berkaitan tilawah sebagai sebahagian daripada pembangunan sahsiah dan rohani.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Sarikei di Dewan Serbaguna Masjid Ar-Rahmah, Kampung Seberang, pada Selasa.
Menurutnya, penyertaan 11 peserta yang terdiri daripada enam qari dan lima qariah pada edisi kali ini menunjukkan sambutan masyarakat terhadap seni bacaan Al-Quran kekal memberangsangkan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan qari dan qariah berpengalaman terus membimbing pelapis menerusi kelas pengajian di masjid, surau serta komuniti bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan wakil Bahagian Sarikei pada masa hadapan.
Dalam pertandingan itu, Ahmad Mukhlis Yahya muncul johan kategori qari, diikuti Awang Nurizal Awang Kenit sebagai naib johan dan Uwais Al-Qarni Yahya di tempat ketiga.
Bagi kategori qariah, Siti Maisara Yahya dinobatkan sebagai johan, manakala Latipah Hassan muncul naib johan dan Siot Toi menduduki tempat ketiga.- EDISI UKAS