Persiapan Persinggahan Premier Sarawak di Sarikei Diperkemas Menjelang Program Konvoi ke Sibu
SARIKEI: Persiapan bagi persinggahan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Masjid Al-Muttaqin, Sarikei sempena Program Konvoi Bermotosikal Dari Jambatan Batang Lupar 1 ke Sibu diperkemas bagi memastikan kelancaran program yang akan diadakan pada Khamis.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, tinjauan yang diadakan pada Rabu itu bertujuan meneliti tahap kesiapsiagaan lokasi termasuk aspek logistik, kemudahan dan penyelarasan program.
Menurut beliau, Premier Sarawak dijadual singgah bagi menunaikan solat di Masjid Al-Muttaqin sebelum mengadakan sesi ramah mesra bersama ketua-ketua kaum serta masyarakat setempat.
Beliau berkata, persinggahan itu merupakan peluang kepada penduduk Sarikei untuk bertemu dan berinteraksi secara lebih dekat dengan Premier Sarawak selepas beliau menghadiri Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1.
Dalam pada itu, Datuk Len turut mengarahkan supaya sebarang kerosakan atau kekurangan kemudahan di Masjid Al-Muttaqin diberi perhatian dan diselesaikan segera sebagai persediaan menjelang Program Sarawakku Sayang dan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri yang dijadual berlangsung pada Ogos depan.
Beliau turut mengajak masyarakat setempat hadir memeriahkan sesi ramah mesra bersama Premier Sarawak sempena persinggahan tersebut.
Turut menyertai tinjauan berkenaan ialah Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Shafrie Saili.- EDISI UKAS