SDGF Bantu Sarawak Bangunkan Tadbir Urus Data Lebih Kukuh
KUCHING: Pelancaran Rangka Kerja Tadbir Urus Data Sarawak (SDGF) menandakan persediaan yang amat penting bagi negeri ini dalam usaha membangunkan kecerdasan buatan (AI) yang dipercayai.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, kepimpinan tertinggi kerajaan negeri di bawah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sering menegaskan tadbir urus data yang kukuh dapat memanfaatkan sepenuhnya nilai yang dibawa teknologi AI dalam usaha mempercepatkan transformasi digital perkhidmatan awam Sarawak.
“Pelancaran SDGF pada hari ini menandakan pentingnya persediaan Sarawak ke arah pembangunan AI yang dipercayai kerana tanpa tadbir urus data yang kukuh, AI tidak akan dapat memberikan nilai dan manfaat sepenuhnya,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pelancaran SDGF 2026 yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki di Kuching pada Rabu.
Menurut Datu Hii, kejayaan merealisasikan SDGF adalah hasil kerjasama erat antara Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Sarawak Multimedia Authority (SMA), Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) dan Sarawak Information Systems (SAINS) dalam membangunkan ekosistem tadbir urus data yang lebih menyeluruh.
Jelas Ketua Pegawai Digital Kerajaan Sarawak itu lagi, tadbir urus data yang kukuh merupakan prasyarat utama kepada pembangunan AI agar ianya mampu memberikan manfaat sepenuhnya kepada kerajaan mahupun rakyat.
Malah jelasnya, kesemua inisiatif yang telah dilancarkan Kerajaan Sarawak bersama agensi terlibat membawa satu mesej yang jelas, iaitu membentuk keupayaan masa depan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) agar kekal berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menghadapi era digital. -EDISI UKAS