Data, AI & Teknologi Baharu Aset Strategik Sarawak Perkukuh Agenda Transformasi Digital
KUCHING: Pembangunan tadbir urus data, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu di Sarawak mampu memberikan impak sebenar kepada rakyat, sekali gus memperkukuh agenda transformasi digital kerajaan negeri.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, negeri ini berada pada detik penting apabila ketiga-tiga perkara berkenaan bukan lagi sekadar pelengkap, sebaliknya menjadi aset strategik bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam serta meletakkan Sarawak sebagai peneraju ekonomi digital.
“Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah-langkah konkrit untuk mewujudkan asas fizikal dan digital yang diperlukan termasuk pembangunan pusat data, hab keterhubungan, platform pengkomputeran awan serta keupayaan pengkomputeran berprestasi tinggi, termasuk inisiatif seperti Kampus Data AI Kuching.
“Pelaburan-pelaburan ini jelas membuktikan satu perkara iaitu Sarawak bukan sekadar bercakap mengenai transformasi digital, malah sedang merealisasikannya secara berperingkat, daripada satu infrastruktur kepada satu sistem yang lengkap,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Rangka Kerja Tadbir Urus Data Sarawak (SDGF) 2026, di sebuah hotel di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, hasil lawatan kerja rasmi Premier Sarawak ke Bristol, United Kingdom baru-baru ini turut memperlihatkan bagaimana sektor semikonduktor, aeroangkasa, pengkomputeran berprestasi tinggi dan AI bergantung kepada data yang diyakini, selamat serta ditadbir urus dengan baik.
Katanya, teknologi tersebut mempunyai aplikasi besar dalam pelbagai sektor strategik Sarawak termasuk perhutanan, pemerhatian bumi, pengurusan bencana, penjejakan karbon, pemantauan maritim dan penyediaan perkhidmatan di kawasan pedalaman.
Mengulas mengenai peranan penjawat awam, beliau menegaskan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) bukan sekadar pelaksana dasar, malah berfungsi sebagai pembuat dasar, penyelaras serta pereka bentuk sistem yang menterjemahkan data kepada dasar, maklumat kepada keputusan dan bukti kepada tindakan.
Justeru, katanya, setiap kementerian dan agensi perlu memastikan data kerajaan sentiasa konsisten, selamat, boleh dipercayai serta boleh dikongsi secara bertanggungjawab agar SCS berkembang menjadi institusi yang berpandukan data, dipacu dasar dan bersedia menghadapi masa depan.
Beliau berkata, tanpa tadbir urus data yang kukuh, kerajaan berdepan risiko berlakunya sistem yang berpecah, pertindihan tugas, maklumat yang tidak konsisten serta kelemahan penyelarasan antara agensi.
“Jika data yang digunakan lemah, lapuk atau tidak lengkap, maka hasil yang dijana juga akan menjadi lemah.
“Sebab itu, tadbir urus data bukan sekadar satu keperluan teknikal, malah merupakan tanggungjawab sektor awam serta mencerminkan disiplin institusi dalam memastikan data diurus secara berintegriti, berkualiti dan boleh dipercayai,” tegas beliau lagi.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Digital Malaysia Datuk Fabian Bigar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Peguam Besar Sarawak Datu John Wayne Chamberlin Sirau, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) Datu Jafri Lias, Pengarah Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) Datu Grace Huong Siew Hung, Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara Ts Dr Suhaila Jaafar serta Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS