Penyusunan Semula Kepimpinan PDRM Sarawak Perkukuh Penyampaian Perkhidmatan
KOTA SAMARAHAN: Penyusunan semula kepimpinan di beberapa daerah polis di Sarawak terus diperkasakan bagi memperkukuh pentadbiran pasukan serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan keselamatan kepada rakyat.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pertukaran melibatkan Ketua Polis Daerah (KPD) Kota Samarahan dan Padawan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak memastikan pengurusan pasukan di peringkat daerah sentiasa berada pada tahap terbaik.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan dan Ketua Polis Daerah Padawan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan, pada Rabu.
Majlis itu turut menyaksikan Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Barry William, dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Padawan, manakala Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi, yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Padawan, mengambil alih jawatan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan.
Beliau menambah, majlis tersebut turut bersempena lawatan rasmi pertamanya ke IPD Kota Samarahan selepas dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak.
"Ketua Polis Daerah adalah orang utama dalam sesebuah daerah. Pertukaran ini dan kenaikan pangkat salah seorang pegawai adalah satu usaha untuk kita menyusun semula pentadbiran daerah di negeri Sarawak,” katanya.
Beliau menjelaskan lagi,,daripada keseluruhan 28 daerah polis di Sarawak, beberapa penyusunan semula kepimpinan telah dilaksanakan sejak beliau menerajui Kontinjen Sarawak bagi memperkukuh pengurusan pasukan serta memastikan rakyat terus menikmati suasana aman, selesa dan makmur.
Katanya, proses perolehan bagi pembinaan beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu, termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak sedang dilaksanakan secara berperingkat.
"Kerajaan Sarawak turut menyediakan tapak baharu bagi pembinaan IPK Sarawak yang telah menerima kelulusan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Bajet tahun lalu.
"Sekarang kita sedang dalam proses menyiapkan segala dokumen dan saya yakin penubuhan IPK Sarawak yang baharu ini akan dapat memantapkan lagi pengurusan serta pentadbiran pasukan pada masa akan datang,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Afiq Fikri Brahim, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Kr Abang Ismari Abang Ali, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zainuddin Bidin serta Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Chek Bujang.-EDISI UKAS