Penguasaan Bahasa Inggeris Penentu Daya Saing Global Graduan Sarawak
KUCHING: Penguasaan Bahasa Inggeris bukan lagi satu kelebihan, sebaliknya menjadi keperluan penting bagi melahirkan tenaga kerja yang mampu bersaing di peringkat global.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, selain memiliki kemahiran teknikal, graduan juga perlu menguasai Bahasa Inggeris supaya dapat berkomunikasi dengan yakin dan bersaing di peringkat antarabangsa.
“Sebagai pendidik, termasuk saya sendiri, kita bertanggungjawab melengkapkan pelajar bukan sahaja dengan pengetahuan akademik, malah kemahiran bahasa serta keyakinan untuk berjaya dalam dunia yang semakin kompetitif dan saling berhubung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak (SELES) 2026 di sini, pada Rabu.
Menurut Dato Sri Roland, kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris masih menjadi antara faktor utama yang menjejaskan kebolehpasaran graduan, khususnya dalam syarikat multinasional.
Katanya, hasil tinjauan yang dijalankan beberapa tahun lalu mendapati ramai graduan gagal memperoleh pekerjaan bukan kerana kekurangan kelayakan akademik, tetapi disebabkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah.
Malah, beliau berkata terdapat juga sebahagian graduan dalam bidang tersebut masih berdepan kesukaran untuk bertutur dengan baik, sekali gus menunjukkan keperluan memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Sarawak terus memberi penekanan terhadap usaha memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris melalui pelaksanaan Dual Language Programme Sarawak (DLP Sarawak) serta Ujian Penilaian Dual Language Programme Sarawak (UPDLPS) sebagai antara inisiatif strategik meningkatkan kompetensi bahasa dalam kalangan pelajar.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.-EDISI UKAS