Kursus Pengurusan Jenazah Akan Diperluas Ke Kawasan Pedalaman, Komuniti Mualaf
BINTULU: Program Kursus Pengurusan Jenazah akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan luar bandar dan pedalaman di Bahagian Bintulu bagi meningkatkan pengetahuan komuniti, khususnya golongan mualaf, dalam menguruskan jenazah mengikut syariat Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, kawasan seperti Sebauh, Pandan, Labang dan Tubau dikenal pasti sebagai antara lokasi yang memerlukan penganjuran program berkenaan berikutan terdapat komuniti saudara baharu yang memerlukan bimbingan.
Menurutnya, kursus itu bukan sahaja memberi pendedahan mengenai tatacara pengurusan jenazah, malah melahirkan lebih ramai individu yang berkemahiran untuk membantu masyarakat di kawasan masing-masing.
“Kita berharap kursus seperti ini dapat diteruskan di kawasan-kawasan lain, terutama di penempatan yang mempunyai komuniti mualaf supaya mereka mampu mengendalikan sendiri urusan pengurusan jenazah apabila diperlukan.
“Pihak Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) akan terus memberi sokongan kepada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) serta mana-mana surau dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menganjurkan kursus seumpama ini pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Jenazah Bahagian Bintulu 2026 di Surau Darussyakirin Kampung Assyakirin pada Rabu.
Kursus anjuran JAIS Bahagian Bintulu dengan kerjasama Surau Darussyakirin Kampung Assyakirin dan LAKIB itu disertai 100 peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, NGO serta komuniti mualaf.
Iskandar berkata, sambutan yang diterima membuktikan masyarakat semakin menyedari kepentingan mempelajari ilmu fardu kifayah, sekali gus mengukuhkan kesiapsiagaan komuniti dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Justeru, neliau berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi memperluaskan kefahaman masyarakat terhadap pengurusan jenazah mengikut tuntutan Islam.-EDISI UKAS