Konvoi Premier Sarawak Detik Bersejarah Buat Penduduk Pusa
PUSA: Konvoi bermotosikal yang diketuai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ke Pusa menjadi detik bersejarah buat penduduk setempat apabila mereka berpeluang menyambut dan beramah mesra dengan kepimpinan tertinggi negeri selepas Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1.
Ketibaan rombongan di Dataran Tandang Sari, Pusa disambut meriah oleh orang ramai yang menyifatkan program itu sebagai simbol keakraban antara pemimpin dan rakyat serta bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam membawa pembangunan ke kawasan luar bandar.
Konvoi itu merupakan sebahagian daripada perjalanan Premier Sarawak selepas merasmikan Jambatan Batang Lupar 1 di Sebuyau sebelum meneruskan perjalanan ke Sarikei dan Sibu.
Penduduk yang ditemui turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Patinggi Abang Zohari serta Kerajaan Sarawak atas pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur strategik yang mengubah landskap pembangunan di kawasan pesisir.
Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang berkata, kehadiran Premier Sarawak memberikan suntikan semangat kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama membangunkan daerah itu.
Sementara itu, Kaunselor Zon Pusa, Ramzi Rasit menyifatkan pembinaan Jambatan Batang Saribas 1 dan 2 serta Jambatan Batang Lupar 1 sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan mobiliti rakyat kerana bukan sahaja mampu memendekkan masa perjalanan, malah memperkukuh hubungan antara kawasan pesisir.
Pandangan sama turut dikongsi Temenggong Bahagian Betong, Piee Alwi, Penghulu Kampung Spinang, Semarang dan Batang Maro, Musa Zin serta Ketua Kampung Hilir Beladin, Awang Subhi Awang Halil yang menyifatkan kehadiran Premier Sarawak sebagai manfestasi penghargaan kepada masyarakat luar bandar, di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara rakyat dan kepimpinan negeri.
Turut mengiringi konvoi ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor. -EDISI UKAS