Premier Sarawak Dekati Rakyat Menerusi Konvoi Bermotosikal Dari Jambatan Batang Lupar 1 Ke Sibu, Tinjau Pembangunan Zon Tengah
SIBU: Komitmen Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mendekati rakyat serta meninjau sendiri pembangunan negeri diteruskan menerusi Konvoi Bermotosikal sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Tengah yang bermula dari Jambatan Batang Lupar 1 dan berakhir di Bandar Sibu pada Khamis.
Konvoi sejauh 214 kilometer itu bermula sejurus selesai Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1 pada sebelah pagi sebelum merentasi beberapa kawasan pesisir dan pedalaman melalui jajaran Jalan Pan Borneo menuju ke Sibu.
Premier Sarawak bersama 19 penunggang motosikal berkuasa tinggi tiba di RH Hotel kira-kira jam 6.05 petang dan disambut meriah oleh orang ramai yang menanti ketibaan beliau.
Sepanjang perjalanan, penduduk di setiap pekan dan perkampungan dilalui turut melambai tangan serta merakam gambar dan video konvoi, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara kepimpinan negeri dengan rakyat.
Terdahulu, konvoi berlepas dari Jambatan Batang Lupar 1 kira-kira jam 12.55 tengah hari selepas selesai majlis perasmian jambatan tersebut yang menjadi mercu tanda baharu jaringan pengangkutan Sarawak.
Persinggahan pertama adalah di Dataran Tandang Sari, Pusa kira-kira jam 1.50 petang, di mana Premier Sarawak meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk di Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar sambil menikmati minuman ringan.
Suasana santai itu dimanfaatkan penduduk setempat untuk berinteraksi serta merakam kenangan bersama Premier Sarawak.
Konvoi kemudiannya meneruskan perjalanan sejauh kira-kira 95 kilometer menuju ke Sarikei sebelum tiba sekitar jam 3.40 petang.
Di Sarikei, Premier Sarawak bersama peserta konvoi menunaikan solat Zohor dan Asar di Masjid Al Mutaqqin sebelum menghadiri jamuan petang bersama pemimpin tempatan dan masyarakat setempat.
Konvoi seterusnya meneruskan perjalanan ke Sibu pada jam 5 petang sebelum tiba dengan selamat kira-kira sejam kemudian.
Antara yang menyertai konvoi ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Penasihat (PKS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais, Pesuruhjaya Polis Sarawak CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah serta anakanda Premier Sarawak, Dato Abang Abdillah Izzarim Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari.
Turut menyertai konvoi ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta beberapa kenamaan lain dengan diiringi lebih 20 kenderaan lain.
Konvoi itu turut mendapat sokongan logistik daripada Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) serta petugas media bagi memastikan perjalanan berjalan lancar.
Program konvoi berkenaan diadakan bersempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Tengah yang berlangsung di Sibu dari 10 hingga 12 Julai.
Selain mengeratkan hubungan antara kepimpinan negeri dan rakyat, program tersebut memberi peluang kepada Premier Sarawak meninjau sendiri perkembangan pembangunan infrastruktur serta kemajuan kawasan luar bandar yang menjadi antara fokus utama agenda pembangunan Sarawak. – EDISI UKAS