Kerajaan Sarawak Perkenal Kerangka 3R Perkukuh Kepimpinan AI Penjawat Awam
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan kerangka ‘Revisit, Rethink dan ReCharge’ (3R) menerusi program ‘Government AI Mastery for SCS Officers: 3R-Driven AI Leadership, Productivity & Governance’ sebagai pendekatan baharu dalam memperkukuh penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara strategik, beretika dan berorientasikan hasil dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
Program selama dua hari yang berlangsung pada 9 hingga 10 Julai itu dibangunkan oleh Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) dan dianjurkan oleh SCOPE, melibatkan kohort pertama seramai 80 peserta terdiri daripada Ketua Pegawai Digital (CDO) dan Penolong Ketua Pegawai Digital (ACDO) daripada kementerian, jabatan serta agensi Kerajaan Sarawak.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Ketua Pegawai Digital Kerajaan Sarawak, Datu Hii Chang Kee berkata,
kerangka 3R diwujudkan bagi membantu penjawat awam mengadaptasi AI dengan lebih berkesan melalui pendekatan yang menggalakkan mereka menilai semula andaian sedia ada (Revisit), memikirkan semula kaedah penyelesaian cabaran kerajaan (Rethink) serta memperbaharui penyampaian perkhidmatan awam (ReCharge) menerusi penggunaan AI secara bertanggungjawab.
“AI bukanlah pengganti kepada pertimbangan manusia, sebaliknya merupakan alat yang membantu penjawat awam berfikir dengan lebih tersusun, bekerja secara lebih cekap dan meneroka pilihan yang lebih meluas dalam membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Pengarah Unit Pendigitalan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Datu Grace Huong berkata program tersebut merupakan kesinambungan agenda memperkukuh keupayaan digital Perkhidmatan Awam Sarawak selaras dengan aspirasi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 Sarawak.
Katanya, penggunaan AI dalam sektor kerajaan perlu dipacu oleh pembangunan kompetensi, tadbir urus yang bertanggungjawab serta impak terhadap penyampaian perkhidmatan, bukannya sekadar penerimaan teknologi semata-mata.
Sepanjang program itu, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek termasuk kepimpinan AI, penggunaan AI secara bertanggungjawab, pertimbangan profesional, analisis dasar, pengesahan data dan bukti, selain latihan amali menggunakan platform Adam AI bagi menyokong tugasan kerajaan seperti penyediaan dokumen, analisis senario, penilaian risiko dan pembangunan cadangan dasar.
Program tersebut dijangka diperluaskan kepada lebih ramai pegawai pelbagai gred serta ketua jabatan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak bagi melahirkan tenaga kerja yang celik AI, sekali gus menyokong agenda ‘Digital First, Future Ready’ Kerajaan Sarawak.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh literasi digital, sebanyak 98 peratus warga Perkhidmatan Awam Sarawak yang melibatkan lebih 19,220 pegawai dan kakitangan telah menamatkan modul latihan AI untuk Rakyat dan ‘Defence Against Phishing’ pada tahun lalu. -EDISI UKAS