Jambatan Batang Lupar 1 Lambang Perpaduan Rakyat, Pemangkin Pembangunan Sarawak
SEBUYAU: Kejayaan Sarawak merealisasikan pembinaan jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia membuktikan bahawa perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama merupakan asas utama yang membolehkan agenda pembangunan negeri dilaksanakan dengan jayanya.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pencapaian itu bukan sekadar melambangkan keupayaan kejuruteraan negeri, malah menjadi simbol kekuatan perpaduan rakyat yang sentiasa menjadi tunjang kepada kemajuan Sarawak.
Menurut beliau, kewujudan jambatan berkenaan perlu menjadi peringatan kepada seluruh rakyat bahawa kemajuan yang dikecapi hari ini lahir daripada kesepakatan masyarakat berbilang kaum dan agama yang sentiasa bersatu dalam mendukung agenda pembangunan negeri.
“Biarlah jambatan ini mengingatkan kita bahawa ia adalah hasil perpaduan rakyat berbilang kaum dan berbilang agama. Inilah yang mengingatkan kita betapa pentingnya kita terus bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, Sarawak memerlukan barisan kepimpinan yang berpandangan jauh, bersifat inklusif dan sentiasa mengutamakan kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
Katanya, pendekatan itu menjadi pegangan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam meneruskan agenda pembangunan, khususnya di kawasan luar bandar yang masih memerlukan pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur.
“Kita memerlukan pemimpin yang mampu melihat masa depan, merangkumi semua kaum dan bekerja untuk masyarakat. Sebab itu kerajaan GPS memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar kerana perjuangan kita adalah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat,” ujarnya.
Untuk rekod, Jambatan Batang Lupar 1 direka sebagai jambatan dua lorong jenis sehala yang merentasi Batang Lupar, lengkap dengan 87 pier sungai dan dibina mengikut Standard JKR R5.
Dengan panjang keseluruhan 4,884 meter, projek itu merupakan antara struktur jambatan paling signifikan yang pernah dibangunkan di Sarawak. -EDISI UKAS