SEBUYAU: Penubuhan AirBorneo bukan bertujuan mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya bagi memastikan rakyat menikmati akses penerbangan yang lebih baik, mampu milik dan menyeluruh, sekali gus memperkukuh ketersambungan Sarawak dengan destinasi dalam dan luar negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif strategik Kerajaan Sarawak itu juga adalah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, pelancongan serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
Mengambil contoh pengumuman penetapan harga tiket penerbangan AirBorneo baru-baru ini, beliau menegaskan ianya akan memberi manfaat penuh kepada rakyat khususnya musim perayaan.
“Sekurang-kurangnya saya boleh menstabilkan kadar tambang dan tidaklah kita terpaksa bayar tiket yang terlalu mahal.
“Seorang sahaja sudah RM700 hingga RM800, belum lagi isteri, belum lagi anak-anak yang hendak balik menyambut Hari Raya atau Gawai, memang membebankan. Ramai anak Sarawak berada di Johor, tetapi mereka tetap mahu pulang ke kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1, di sini pada Khamis.
Malah jelas Premier Sarawak, sekiranya negeri ini terus dilimpahi rezeki berterusan, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menurunkan lagi harga tiket penerbangan berkenaan.
Menyentuh kesan kepada ekonomi Sarawak, beliau menegaskan inisiatif berkenaan langsung tidak menjejaskan ekonomi, malah memberi pulangan kepada negeri ini.
“Ini tidak akan menjejaskan ekonomi kita, sebaliknya akan menambahkan ekonomi kita kerana ramai orang luar contohnya dari Indonesia datang mendapatkan rawatan di Kuching.
“Jadi, kita mesti mempunyai kapasiti yang mencukupi. Cara kita menguruskan ekonomi pula mestilah secara berhemat dan ekonomi kita mesti disusun dengan baik,” tegas beliau lagi. -EDISI UKAS