SCSDU Raih Pengiktirafan GovMedia Conference & Awards 2026 Menerusi Inisiatif Service Sarawak
SINGAPURA: Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), Jabatan Premier Sarawak mengharumkan nama negeri apabila merangkul Anugerah Malaysia Social Equity and Inclusion Initiative of the Year – Community pada GovMedia Conference & Awards 2026 menerusi inisiatif Service Sarawak: One Government at Your Service – Bridging Communities through Inclusive Digital Transformation.
SCSDU dalam satu kenyataan media pada Khamis memberitahu, pengiktirafan berprestij itu diberikan sebagai menghargai kejayaan Service Sarawak yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan menerusi satu platform bersepadu yang boleh diakses melalui saluran fizikal, digital dan mudah alih, sekali gus memperluas penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di seluruh Sarawak.
Inisiatif tersebut dibangunkan di bawah Agenda Transformasi Digital Perkhidmatan Awam Sarawak bagi menangani cabaran penyampaian perkhidmatan di negeri yang mempunyai keluasan geografi serta kepelbagaian demografi.
Sebelum ini, penduduk terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman berdepan kesukaran mendapatkan perkhidmatan kerajaan akibat jarak perjalanan yang jauh, lokasi perkhidmatan yang berasingan serta kekangan infrastruktur digital.
Melalui Service Sarawak, pelbagai urusan kerajaan kini disepadukan dalam satu pintu masuk yang boleh diakses mengikut lokasi, keperluan dan tahap capaian digital pengguna.
Pelaksanaan inisiatif tersebut telah memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar dan bandar di mana penduduk luar bandar tidak lagi perlu melakukan perjalanan jauh ke bandar utama bagi mendapatkan perkhidmatan kerajaan, sekali gus menjimatkan masa dan kos perjalanan, manakala penduduk bandar menikmati proses penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas dan cekap menerusi integrasi saluran fizikal serta digital.
Malah, tempoh penyampaian perkhidmatan berjaya dipendekkan sehingga 75 peratus melalui pelaksanaan Piagam Pelanggan di kaunter Service Sarawak, di samping peningkatan berterusan penggunaan platform digital oleh rakyat.
Sehingga kini, Service Sarawak telah memberi perkhidmatan kepada lebih 3.4 juta pelanggan dengan lebih 5.5 juta transaksi direkodkan melibatkan kutipan keseluruhan berjumlah RM6.1 bilion menerusi semua saluran perkhidmatan.
Tahap kepuasan pelanggan pula kekal melebihi 97 peratus sepanjang tiga tahun lalu, sekali gus mencerminkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri.
Sehingga Mei 2026, rangkaian Service Sarawak telah diperluaskan ke Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Miri dan Lawas bagi memastikan akses perkhidmatan kerajaan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh di kawasan bandar mahupun luar bandar.
SCSDU akan terus memperluas liputan perkhidmatan, menambah baik kemudahan kiosk serta aplikasi mudah alih, memperkukuh pengurusan pengalaman pelanggan dan mengintegrasikan lebih banyak perkhidmatan kerajaan bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menikmati kemudahan tersebut.
Inisiatif ini turut selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam aspek keterangkuman sosial, selain menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 10 yang memberi fokus kepada pengurangan ketidaksamaan.
GovMedia Conference & Awards merupakan program anugerah serantau yang berpangkalan di Singapura bagi mengiktiraf kecemerlangan inisiatif sektor awam dalam bidang inovasi kerajaan, penyampaian perkhidmatan dan transformasi digital di rantau Asia Pasifik.
Pengiktirafan terhadap Service Sarawak ini meletakkan SCSDU sebaris dengan organisasi sektor awam terkemuka di rantau ini, sekali gus meningkatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap pendekatan Sarawak dalam menyediakan perkhidmatan kerajaan yang inklusif dan bersepadu.
Sementara itu, bersempena GovMedia Conference & Awards 2026, Pengarah SCSDU, Datu Grace Huong Siew Hung turut dijemput sebagai ahli panel dalam sesi perbincangan yang menghimpunkan pemimpin kerajaan dan industri dari seluruh rantau Asia Pasifik.
Beliau berkongsi pengalaman serta amalan terbaik berkaitan agenda transformasi digital Sarawak, sekali gus mengetengahkan pendekatan strategik negeri dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam berasaskan teknologi digital.-EDISI UKAS