Konvoi motosikal Premier erat hubungan dengan rakyat dari Batang Lupar ke Sibu
SIBU: Konvoi Motosikal Sarawakku Sayang 2026 yang diketuai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bukan sekadar perjalanan merentasi Batang Lupar hingga Sibu, malah menjadi wadah mendekatkan pemimpin dengan rakyat di sepanjang laluan.
Konvoi membabitkan 20 motosikal itu bermula di Batang Lupar sejurus selesai majlis perasmian Jambatan Batang Lupar, sebelum meneruskan perjalanan melalui beberapa lokasi utama sebagai sebahagian daripada pengisian Program Sarawakku Sayang Peringkat Bahagian Sibu.
Di Batang Lupar, Abang Johari turut menghadiri jamuan ringan di Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), tetamu jemputan serta wakil rakyat setempat, sekali gus memberi ruang kepada beliau beramah mesra dan bertukar pandangan dengan masyarakat.
Konvoi kemudian singgah di Sarikei bagi menunaikan solat Zuhur dan Asar secara jamak di Masjid Al-Mutaqqin sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir di Sibu.
Sepanjang perjalanan, kehadiran rombongan disambut meriah oleh penduduk yang menunggu di tepi jalan untuk menyambut ketibaan Premier serta para peserta konvoi, mewujudkan suasana penuh mesra dan semangat kebersamaan.
Konvoi itu turut mencerminkan kemudahan jaringan jalan raya yang semakin baik di Sarawak, sekali gus memperkukuh hubungan antara bandar dan kawasan luar bandar hasil pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan kerajaan negeri.
Rombongan tiba di RH Hotel Sibu sekitar jam 6 petang, sekali gus menamatkan laluan Batang Lupar-Sibu dan melengkapkan perjalanan konvoi yang menjadi sebahagian daripada Program Sarawakku Sayang 2026 Peringkat Bahagian Sibu.-EDISI UKAS