Persiapan Akhir Karnival Komuniti Zon 2 Simunjan Giat Dilaksanakan
SIMUNJAN: Persiapan akhir bagi Program Karnival Komuniti Zon 2 Simunjan kini giat dilaksanakan dengan kerjasama jawatankuasa penganjur dan penduduk kampung bagi memastikan penganjuran program selama tiga hari itu berjalan lancar.
Program Karnival Komuniti Zon 2 Simunjan dianjurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan dengan kerjasama Persatuan Komuniti Zon 2 Simunjan.
Kerja-kerja persediaan meliputi pemasangan pentas utama, penyusunan ruang acara, penyediaan rumah sukan, tapak aktiviti dan gerai jualan, pembersihan kawasan serta penyelarasan pelbagai kemudahan bagi memastikan program berlangsung dengan lancar, selesa dan teratur.
Program yang akan berlangsung selama tiga hari, bermula 10 hingga 12 Julai 2026 itu dijangka menghimpunkan penyertaan masyarakat daripada 11 kampung di Zon 2 Simunjan.
Sebanyak 11 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terlibat dalam penganjuran karnival ini, iaitu JKKK Kelka Hilir, JKKK Kelka Tengah, JKKK Kelka Hulu, JKKK Sageng Hilir, JKKK Sageng Tengah, JKKK Sageng Hulu, JKKK Sageng Sabal, JKKK Sageng Baru, JKKK Hijrah Fasa 1, JKKK Hijrah Fasa 2 dan JKKK Lintang Hijrah yang berganding bahu menjayakan program berkenaan.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun bagi memenuhi citarasa semua lapisan masyarakat.
Antaranya ialah Senam ‘Seni & Fundance’, pertandingan karaoke, pertandingan ‘fashion show’ kanak-kanak, pertandingan Ratu Kebaya Nyonya Warga Emas, pertandingan busana lelaki, pertandingan mewarna warga emas, pertandingan menganyam ketupat sate, sukan rakyat, pertandingan dart, pertandingan melastik, pertandingan layang-layang cantik, pertandingan rumah sukan, perbarisan rumah sukan serta pameran dan kaunter perkhidmatan pelbagai agensi.
Selain itu, pengunjung juga boleh mengunjungi pelbagai gerai jualan yang menawarkan makanan, minuman serta pelbagai produk tempatan sepanjang karnival berlangsung serta cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik turut disediakan bagi memeriahkan lagi program. -EDISI UKAS