Perpaduan Komuniti Perkukuh Agenda Pembangunan Bukit Begunan
SRI AMAN: Semangat perpaduan dan kerjasama masyarakat terus menjadi asas penting dalam mempercepat agenda pembangunan di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, sinergi antara pemimpin dan masyarakat perlu terus diperkukuh menerusi program yang menghimpunkan rakyat bagi membincangkan keperluan setempat serta menyelaras usaha pembangunan secara bersama.
“Program seumpama ini membuktikan semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan masyarakat dan menjadi asas penting kepada pembangunan kawasan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jembai dan Rumah Raymond di Dewan Serbaguna Melugu Skim, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) memberi tumpuan kepada sektor pelancongan dan pertanian sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi bagi memperkukuh pembangunan di bahagian tersebut.
Beliau turut menerangkan hala tuju Kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi melalui pemerkasaan inovasi, penggunaan data, kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga terus memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak Sarawak yang layak di institusi milik kerajaan negeri.
Pada majlis sama, Datuk Mong mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM13,000 kepada Rumah Jembai, RM10,000 kepada Rumah Raymond dan RM5,000 kepada Dewan Serbaguna Melugu Skim bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta pembangunan komuniti setempat. -EDISI UKAS