Bantuan Sejahtera MADANI Perkasa Pendapatan 24 KIR eKasih Saratok, Pusa & Betong
SARATOK: Seramai 24 Ketua Isi Rumah (KIR) dari daerah Saratok, Pusa dan Betong yang berdaftar dalam sistem eKasih menerima Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Skop Peningkatan Pendapatan Tahun 2026 bagi memperkukuh sumber pendapatan dan meningkatkan taraf sosioekonomi isi rumah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohammad Duri berkata, pelaksanaan program itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Kerajaan sentiasa prihatin dan komited membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendekatan yang menyeluruh dan berfokus, selain menekankan bahawa agenda membasmi kemiskinan merupakan tanggungjawab bersama antara kerajaan, agensi pelaksana dan rakyat sebagai penerima bantuan,” katanya semasa berucap dalam majlis penyerahan bantuan tersebut di Dewan Pejabat Daerah Saratok, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mohammad turut menyeru semua pihak agar terus mendukung aspirasi Malaysia MADANI ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan berkeupayaan meningkatkan taraf kehidupan.
Program anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Sri Aman) itu melibatkan bantuan peralatan berjumlah keseluruhan sebanyak RM120,000 yang diberikan secara ‘one-off’.
Tiga kategori bantuan disediakan, iaitu peralatan pembuatan kuih-muih, peralatan jahitan dan peralatan bengkel bagi membantu penerima menjana pendapatan serta memperkukuh ekonomi isi rumah masing-masing.
Turut hadir semasa majlis berkenaan ialah Pegawai Pembangunan Zon, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Sri Aman) Radiah Muhamad dan Pegawai Daerah Betong Laga Kueh. -EDISI UKAS