Kod QR Permudah Akses Perkhidmatan Kerajaan, Bukti Kesedaran Digital Rakyat Meningkat
SIBU: Kesedaran masyarakat untuk memanfaatkan perkhidmatan digital kerajaan terus menunjukkan peningkatan apabila penggunaan kod Respons Pantas atau Kod QR kini menjadi antara medium utama bagi mendapatkan pelbagai maklumat dan urusan perkhidmatan kerajaan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, perubahan itu membuktikan rakyat semakin bersedia menerima pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan awam berbanding pendekatan manual yang diamalkan sebelum ini.
Menurut beliau, penggunaan Kod QR membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat, membuat permohonan serta menyemak status permohonan dengan lebih mudah, pantas dan efisien.
“Kita melihat kesedaran masyarakat terhadap penggunaan perkhidmatan digital semakin meningkat. Jika dahulu kebanyakan urusan kerajaan dilakukan secara manual, kini ramai yang menggunakan Kod QR untuk mendapatkan maklumat serta mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pra pelancaran Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang pada Jumaat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa transformasi digital tidak bermaksud menghapuskan interaksi secara bersemuka kerana sentuhan kemanusiaan masih penting dalam memastikan rakyat menerima penerangan yang lengkap serta layanan yang mesra.
“Walaupun kita menyediakan perkhidmatan secara digital, pendekatan secara bersemuka masih diperlukan supaya rakyat memperoleh maklumat yang lebih jelas serta menerima perkhidmatan yang lebih berkualiti,” ujarnya.
Jelas beliau, keseimbangan antara pendigitalan dan interaksi langsung akan terus menjadi fokus Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, inklusif dan mesra rakyat.
Hadir sama mengiringi beliau ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Residen Sibu, Superi Awang Said serta Ketua-Ketua Jabatan.-EDISI UKAS