Program SKS Bahagian Sibu Sasar Lebih 30,000 Pengunjung Sepanjang Tiga Hari
SIBU: Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu 2026 menyasarkan kehadiran lebih 30,000 pengunjung sepanjang penganjurannya selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Julai ini.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan kedudukan strategik Sibu yang mudah diakses dari pelbagai bahagian di Sarawak.
Menurut beliau, lokasi Sibu yang berada di tengah-tengah negeri membolehkan orang ramai dari Mukah, Kapit, Kanowit, Sarikei, Bintulu serta kawasan sekitarnya hadir bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan yang disediakan secara sehenti.
“Kita menjangkakan lebih 30,000 pengunjung akan hadir sepanjang penganjuran SKS Bahagian Sibu. Saya ingin mengajak orang ramai di Sibu dan kawasan berhampiran supaya datang bersama-sama melihat sendiri pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pra pelancaran Program SKS Bahagian Sibu 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, pada Jumaat.
Hadir sama mengiringi beliau ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Residen Sibu, Superi Awang Said serta Ketua-Ketua Jabatan.
Tambah beliau, pencapaian SKS Bahagian Kapit yang berjaya menarik kira-kira 38,000 pengunjung sebelum ini memberi keyakinan bahawa penganjuran di Sibu berpotensi mencatat kehadiran yang lebih tinggi.
“Jika dibandingkan dengan Kapit, Sibu mempunyai kelebihan dari segi akses jalan raya dan kedudukan yang lebih strategik. Sebab itu saya yakin jumlah pengunjung di sini berkemungkinan lebih tinggi,” katanya.
Beliau menjelaskan, penganjuran SKS terus menjadi platform penting bagi mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan rakyat selain memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat serta menyelesaikan pelbagai urusan di bawah satu bumbung.-EDISI UKAS